Institusi latihan di wilayah ekonomi

Oleh Farid Noh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membina institusi latihan khas di semua wilayah ekonomi yang akan dibangunkan, khusus bagi menyediakan tenaga profesional di kalangan anak tempatan sekali gus mengurangkan pergantungan tenaga kerja dari luar negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata langkah itu bertujuan menjaga kepentingan penduduk tempatan di kawasan wilayah ekonomi terbabit supaya tidak ketinggalan dan dapat sama-sama menikmati faedah pembangunan yang dirancang kerajaan.

"Kita akan mula membina institusi itu di wilayah yang sudah diputuskan kerajaan secepat mungkin supaya penduduk kawasan wilayah terbabit khususnya generasi muda dapat diberi latihan sempurna dan berpeluang menyumbang tenaga kepada kejayaan projek berkenaan.

"Di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), kerajaan akan membina institusi latihan berdasarkan ilmu berkaitan seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), manakala di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pula akan dibina institusi latihan perubatan moden yang menyediakan latihan termasuk fisioterapi dan psikologi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Seminar Pekerjaan dan Keusahawanan: Memenuhi Jangkaan Sektor Pekerjaan yang Mencabar, di sini, semalam.

Dr Fong berkata, pembinaan institusi latihan itu sejajar dengan keperluan wilayah terbabit yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi.

"Kerajaan tidak mahu apabila wilayah ekonomi sudah dibangunkan, penduduk sekitarnya hanya menjadi penonton kerana tujuan utama pembangunannya untuk membangunkan ekonomi penduduk setempat.

"Institusi latihan terbabit juga adalah sebagai cara mengurangkan tenaga kerja luar masuk ke negara ini, malah mampu menghapuskan kebergantungan negara kepada profesional luar negara.

"Oleh itu, kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan modul yang diajar bukan saja bermutu malah menepati piawaian antarabangsa," katanya.

Kerajaan melaksanakan pembangunan koridor ekonomi yang berpaksikan konsep wilayah yang akan menerokai potensi baru serta mempertingkatkan usaha untuk membasmi kemiskinan secara lebih berkesan di kawasan luar bandar.

Bermula dengan WPI meliputi Johor selatan tahun lalu, ia diteruskan dengan pembangunan NCER yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak serta wilayah ekonomi ketiga iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Timur (ECER) yang membabitkan Terengganu, Kelantan serta Pahang.

Koridor ekonomi yang sama juga bakal dilancarkan di Sabah dan Sarawak.

0 comments: