Wajib lapor kes dera

Oleh Norakmah Mat Youb




Pindaan akta dibentang bulan depan tangani penganiayaan kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan swasta, guru dan penjaga badan bukan kerajaan (NGO) diwajib melaporkan sebarang kes penderaan, termasuk seksual terhadap kanak-kanak dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan dibentangkan kepada Kabinet bulan depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar), berkata ketika ini, akta berkenaan hanya mewajibkan pengasuh dan pegawai perubatan kerajaan membuat laporan mengenai penderaan kanak-kanak.

Beliau berkata, cadangan pindaan undang-undang itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada semua pihak supaya tindakan segera dilakukan bagi mencegah kejadian yang mengancam keselamatan kanak-kanak.


Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak meliputi penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan kes buang bayi.

"Pindaan ini dibuat kerana kerajaan mengiktiraf kanak-kanak sebagai komponen penting dalam masyarakat," katanya pada majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia ke-53 peringkat kebangsaan yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, di sini, semalam.

Tema sambutan kali ini adalah 'Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak: Keutamaan Kita' memberi penekanan supaya masyarakat melaksanakan peranan supaya keselamatan dan perlindungan kanak-kanak lebih terjamin.


Shahrizat berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 1,999 kes penderaan dilaporkan pada 2006 berbanding 1,242 kes pada 2002 yang merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi, sumbang mahram dan buang bayi.

"Kes penganiayaan kanak-kanak turut meningkat daripada 123 kes pada 2002 kepada 141 kes tahun lalu manakala kanak-kanak hilang mencatatkan angka membimbangkan, iaitu 6,533 dilaporkan sejak Januari 2004 sehingga Ogos tahun ini.

"Dulu isu keselamatan kanak-kanak tidak begitu ketara dan membimbangkan tetapi kini semakin kerap kes membabitkan penderaan dan pembunuhan golongan berkenaan disiarkan di media.

"Tetapi ini adalah antara risiko pembangunan dan kemajuan yang kita kecapi bila kita perlu memastikan keselamatan anak-anak sentiasa dijaga," katanya.

Sementara itu, Jeanne dalam ucapannya meminta semua pihak, terutama ibu bapa, guru dan masyarakat mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan diri di mana saja mereka berada.

Beliau turut meminta ibu bapa dan masyarakat mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati menimpa Nurin Jazlin Jazimin, Ooi Ying Ying dan terbaru Preeshena Varshiny yang menjadi mangsa penderaan seks dan dibunuh.

"Ibu bapa seharusnya menjadi rakan karib dan pendengar setia serta sabar dengan kerenah anak-anak. Mereka adalah pewaris kita dan pewaris negara. Tanpa mereka tidak ada pelapis membangunkan negara," katanya.

0 comments: