Hui Yee mula nikmati sate


TEE HUI YEE.

KUALA LUMPUR 10 Nov. – Penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, kini semakin sihat dan dibenarkan keluar dari wadnya untuk menghadiri rumah terbuka Institut Jantung Negara (IJN) sempena sambutan Aidilfitri.

Kesempatan itu digunakan oleh Hui Yee untuk menikmati makanan kegemarannya termasuk sate.

Selain sate, Hui Yee turut menikmati nasi beriani dan kuih-muih serta minuman.

Hui Yee yang memakai baju kurung berwarna merah semasa majlis tersebut, kelihatan ceria kerana dapat makan pelbagai jenis makanan kegemarannya.

Dia yang turut sama memeriahkan majlis tersebut, sudah mampu berjalan walaupun kakinya masih terasa sakit akibat kesan pembedahan.

Ketika ditanya oleh wartawan Mingguan Malaysia, Sarah Nadlin Rohim mengenai perkara yang paling dirindui, gadis itu memberitahu: “Saya rindu masakan mak, datuk, kawan-kawan dan saya tak sabar nak balik rumah.”

Sementara itu, Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Noor Salina Othman berkata, hari ini merupakan hari pertama Hui Yee dibenarkan keluar dari wad dan bergaul dengan orang ramai.

“Sebelum ini, Hui Yee dibenarkan keluar berjalan-jalan tetapi pada waktu-waktu tertentu iaitu apabila tiada orang di sekeliling bagi mengelakkan daripada terdedah kepada sebarang jangkitan.

“Hari ini, dia dibenarkan menyertai majlis ini kerana keadaan dia yang semakin sembuh” tambahnya.

Menurut Salina, Hui Yee akan mengikuti jadual harian termasuk senaman dan memakan ubat bagi membolehkannya berdikari.

Selain itu, dia diajar cara-cara menjaga kebersihan diri dan cara mengambil suhu badannya sendiri bagi memastikan dia tidak demam.

“Ini bagi persediaan sebelum dia dibenar pulang ke rumah kelak,” tambahnya.

Ibu Hui Yee, Dina Bato Sam Bua yang sentiasa menemaninya di wad berasa sungguh gembira dengan perkembangan positif Hui Yee.

“Sebagai ibu, saya memang seronok dan berharap dia dapat pulang ke rumah dengan cepat dan saya ingin memasak sup kegemarannya,” katanya.

Pihak IJN juga masih belum dapat memastikan bila Hui Yee boleh pulang ke rumah kerana mereka masih memantau keadaannya.

Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah jantung pertama yang didermakan kepada gadis tersebut tidak dapat diterima oleh tubuhnya.

Sebelum itu, Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.

0 comments: