Roskosmos iktiraf Faiz, Muszaphar


Dr Faiz (kiri) dan Dr Sheikh Muszaphar

Russia puas hati prestasi kedua-dua angkasawan negara ikuti misi Soyuz

ASTANA (Kazakhstan): Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed diiktiraf sebagai angkasawan atau 'cosmonaut' oleh Agensi Angkasa Lepas Russia (Roskosmos) selepas menjalani latihan terakhir dengan cemerlang hingga memuaskan hati pihak Russia Jumaat lalu.

Bagaimanapun hanya seorang daripada mereka akan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan ini akan diketahui empat jam sebelum roket Soyuz yang akan membawa seorang rakyat Malaysia dan dua lagi krew (seorang dari Russia dan seorang dari Amerika) ke ISS itu berlepas, esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata pengiktirafan itu dimaklumkan kepada beliau dalam pertemuannya dengan Ketua Pengarah Roskosmos, Anatoly Perminov, di Moscow, Jumaat lalu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR Kerajaan akan memenuhi permintaan dua angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz untuk bertemu ibu bapa masing-masing sebelum salah seorang berlepas menaiki pesawat Soyuz.

Pengarah Misi Angkasawan, Dr Zulkifli Md Jusoh, ketika dihubungi di Baikonour, Kazakhstan semalam berkata, permintaan dibuat beberapa hari lalu oleh kedua-dua calon akhir itu sebelum terus dimaklumkan kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

"Kerajaan bersetuju untuk menerbangkan kedua ibu bapa mereka ke Baikonour dan pertemuan akan diadakan di pelantar pelancaran empat jam sebelum mereka berlepas pada 10 Oktober ini.

"Bagaimanapun, kedua-dua angkasawan negara terbabit hanya dibenarkan bertemu ibu bapa mereka di hadapan panel cermin dalam bilik khas," katanya.

Dr Zulkifli berkata, kedua angkasawan tidak dibenarkan bersentuh dengan individu lain walaupun ibu bapa sendiri sehingga menaiki pesawat.

"Mereka akur walaupun hakikatnya mereka ingin sekali bersalaman serta memohon restu dan kemaafan sebelum pemergian mereka, apalagi Aidilfitri yang bakal menjelang," katanya.

Dr Zulkifli berkata, walaupun dua angkasawan itu bakal merindui masakan Aidilfitri kegemaran mereka, prosedur pemakanan yang ketat tidak membolehkan keluarga mereka membawa masakan dari Malaysia.

Beliau berkata, dua angkasawan terbabit kini menjalani latihan intensif terakhir secara tertutup yang membabitkan latihan simulator, kecemasan dan perubatan.

"Kelmarin, mereka sudah menjalani ujian kesesuaian di dalam pesawat Soyuz. Ia untuk menguji dan menentukan saiz kerusi, peralatan dan sistem komunikasi di samping membiasakan mereka dengan persekitaran pesawat yang kecil dan sempit," katanya.

0 comments: