Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
KEPALA BATAS 7 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, sudah menjadi dasar kerajaan untuk berlaku adil dalam menyalurkan bantuan kepada orang ramai tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman mereka.
Menurut Perdana Menteri, beliau gembira kerana semua bangsa di negara ini saling memahami antara satu sama lain serta sedia membantu dalam apa jua bentuk bantuan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Tambahnya, apa jua bantuan yang disalurkan akan diagih dan disalurkan secara adil lebih-lebih lagi kepada mereka yang memerlukan.
“Saya gembira dengan sikap rakyat Malaysia yang suka membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, dan apa yang lebih menggembirakan ialah perasaan kasih sayang antara mereka kepada yang memerlukan.
“Inilah sikap yang seharusnya ada pada setiap orang khususnya bagi membantu mereka yang ditimpa bencana dan penyakit, mangsa kemalangan dan anak-anak yatim yang memerlukan bantuan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian derma siswa dan sumbangan perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Budi Penyayang di Kompleks Yayasan Budi Penyayang, Kepala Batas di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 130 pelajar menerima derma siswa dan 350 lagi menerima sumbangan Hari Raya.
Menurut Abdullah, amalan membantu antara satu sama lain perlu diteruskan dari masa ke masa dan tidak hanya dihadkan pada waktu-waktu tertentu.
Sebagai contoh katanya, ketika Hari Raya, penganut agama lain juga menerima bantuan dan tidak terhad kepada orang Islam.
Begitu juga pada perayaan lain seperti Deepavali dan Tahun Baru Cina di mana orang Islam dan penganut agama lain turut menerima bantuan.
Perdana Menteri mahukan amalan bantu-membantu diteruskan setiap masa tanpa perlu menunggu pada waktu tertentu kerana bantuan tersebut perlu disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, Abdullah turut menyelar sikap segelintir orang yang suka menangguk di air keruh dan menimbulkan kekecohan terhadap penyaluran bantuan yang dikeluarkan.
Katanya, memang ada orang suka mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain malah ada yang suka membuat kacau kalau bantuan lambat dikeluarkan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan.
Beliau menambah, apa jua bentuk bantuan yang dikeluarkan bertujuan meringankan beban mereka dan kerajaan tidak berniat untuk menyusahkan mangsa yang ditimpa bencana.
“Seperti saya katakan, kita akan tetap adil dan saksama terhadap semua orang tidak kira apa jua bangsa,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment