Batal cuti bersama anak urus pembedahan Hui Yee

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Pada Rabu lalu, Noor Salina Othman, 39, sedang bercuti dan berhasrat membawa anak perempuannya yang berusia tiga tahun membeli baju raya.

Bagaimanapun, beliau terpaksa membatalkan rancangan itu apabila menerima panggilan dari tempat kerjanya, Institut Jantung Negara (IJN) di sini, bahawa ada orang ingin mendermakan jantung kepada Tee Hui Yee.

Beliau yang merupakan Penyelaras Pemindahan Organ institut itu bergegas ke IJN kerana menganggap saat itu adalah peluang terbaik untuk gadis berusia 14 tahun itu meneruskan hidupnya dalam keadaan normal.

Noor Salina kemudian bergegas ke IJN dan tidak pulang ke rumah selama tiga hari selepas itu semata-mata untuk menguruskan pembedahan pemindahan jantung Hui Yee.

“Apabila mendapat berita mengenai Hui Yee akan mendapat jantung baru, saya bersemangat dan berazam mahu membantunya setakat yang boleh.

“Saya juga terpaksa mengorbankan peluang membeli baju raya untuk anak pada hari cuti saya,” katanya ketika ditemui pemberita di IJN di sini hari ini.

Noor Salina yang telah 15 tahun bekerja di IJN memberitahu, beliau mendapat panggilan untuk menguruskan persediaan bagi menjalankan pembedahan pemindahan jantung ke atas Hui Yee kira-kira pukul 1 petang hari Rabu lalu.

“Masa itu saya sedang memandu kereta. Sebaik melalui IJN, saya mendapat panggilan telefon supaya datang bertugas kerana Hui Yee akan mendapat jantung baru pada hari itu.

“Jadi saya batalkan rancangan saya untuk membeli baju raya dan terus memandu ke IJN dengan membawa anak saya bersama,” katanya yang berasal dari Kepong dekat sini.

Noor Salina berkata, beliau terpaksa menelefon kakaknya yang tinggal berdekatan untuk datang menjaga anaknya di IJN bagi membolehkannya menguruskan persediaan pembedahan Hui Yee pada sebelah malam.

Selepas menguruskan pembedahan pemindahan organ jantung yang pertama terhadap Hui Yee pada hari Rabu, beliau tidak pulang ke rumah sehinggalah petang Jumaat lalu selepas Hui Yee selesai menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua.

Pemindahan jantung kedua yang diterima oleh Hui Yee daripada seorang remaja berusia 20 tahun dari Johor terpaksa dilakukan apabila tubuh gadis itu tidak dapat menerima organ jantung daripada penderma pertama, seorang remaja berusia 15 tahun dari Sitiawan.

“Pada hari Jumaat, saya hanya pulang sekejap kerana selepas itu saya kena bergegas ke IJN semula untuk menguruskan pemantauan keadaan Hui Yee.

“Selama tiga hari berada di IJN tanpa pulang ke rumah, saya berbuka puasa dengan apa sahaja yang sempat saya makan. Penat memang penat tetapi itu adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan rapi selama 24 jam perlu dilakukan terhadap Hui Yee kerana dia melalui dua siri pembedahan pemindahan jantung yang besar.

Noor Salina yang sebelum ini bertugas sebagai jururawat di institut itu berkata, beliau perlu sentiasa bersama ibu bapa Hui Yee bagi memaklumkan perkembangan terkini remaja itu.

Noor Salina berkata, keluarganya memahami tugasnya di IJN dan sentiasa memberi sokongan kepada beliau kerana ia adalah satu tugas yang mulia.

Tambahnya, sejak memegang jawatan Penyelaras Pemindahan Organ di IJN enam bulan lepas, beliau perlu berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa sekiranya terdapat sebarang kes pemindahan organ.

Katanya, pernah sekali semasa dalam perjalanan pulang ke kampung suaminya di Johor, beliau terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur setelah mendapat panggilan untuk menguruskan satu kes pemindahan organ di IJN.

“Saya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga kali ini tetapi saya tetap kena bersedia untuk sebarang kemungkinan dipanggil bertugas,” tambahnya.

0 comments: