Angkasawan negara diketahui 4 jam sebelum pelancaran

Daripada Metra Syahril Mohamed


DUA HARI LAGI... Beberapa jurutera Rusia bertungkus-lumus melakukan kerja pemasangan komponen-komponen penting roket Soyuz TMA-11, semalam - 48 jam sebelum roket tersebut membawa angkasawan Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor atau Faiz Khaleed, Yuri Malechenko (Rusia) dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat ke angkasa lepas, Rabu ini. Roket itu kini ditempatkan di bahagian pemasangan di Baikonur, Kazakhstan. – Gambar AFP.

ASTANA, Kazakhstan 7 Okt. – Pengumuman siapa bakal angkasawan pertama negara yang akan menjalankan misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini akan ditentukan selewat-lewatnya empat jam sebelum masa pelancaran.

Kapal angkasa Soyuz yang membawa angkasawan pertama negara dijadualkan dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome di sini pada pukul 5.21 petang waktu tempatan (pukul 9.21 malam waktu Malaysia).

Ini bermakna pemilihan sama ada Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, 35, atau Kapten Dr. Faiz Khaleed, 27, sebagai angkasawan hanya diketahui pada pukul 1.21 petang waktu tempatan (pukul 5.21 petang waktu Malaysia).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, sejak berada di sini pada 28 September lepas, kedua-dua angkasawan Malaysia yang sedang dikuarantinkan itu meneruskan siri latihan termasuk persiapan terakhir sebelum pelancaran Soyuz TMA-11.

Ini termasuk menghadiri kuliah teori dan praktikal mengenai proses pelancaran serta pengendalian pesawat Soyuz semasa pelancaran serta prosedur-prosedur ketika Soyuz mendarat di ISS.

‘‘Cuma apa yang dimaklumkan kepada saya ialah kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan baik dan sudah bersedia untuk menjalankan misi ke ISS.

‘‘Sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz (terpilih ke ISS), saya pun belum tahu dan ia bergantung kepada pemilihan pada saat-saat akhir yang ditentukan oleh Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos),’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jamaluddin berkata, selain Sheikh Muszaphar dan Faiz, krew yang akan bersama-sama kedua-dua angkasawan negara itu juga boleh bertukar sebelum pelancaran pada 10 Oktober ini.

Beliau berkata, ketika ini pihak berkuasa Rusia mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz TMA-11 dianggotai oleh Sheikh Muszaphar, Yuri Malechenko dan Peggy Whitson manakala kumpulan krew kedua terdiri daripada Faiz, Sharizan Sharipov serta Michael Fincke.

Menurut Jamaluddin, kedua-dua kumpulan krew itu kini melakukan ulang kaji yang terperinci dan mereka juga menjalani latihan simulasi komputer bagi proses mendarat.

‘‘Tindakan kecemasan untuk setiap fasa pelancaran juga diajar bagi memastikan krew berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapinya jika berlaku sebarang kemungkinan,” katanya.

Jamaluddin memberitahu, latihan praktikal terakhir telah dijalankan kelmarin iaitu melibatkan crew fit check iaitu prosedur di mana krew akan memeriksa semua kelengkapan pesawat Soyuz sebelum ia dicantumkan dengan pelancar roket dan dibawa dengan kereta api ke tapak pelancaran.

‘‘Ini termasuk juga pemeriksaan kesemua peralatan peribadi dan penyelidikan yang akan dibawa ke ISS,” tambahnya.

Angkasawan Malaysia yang terpilih ke ISS bakal berada di sana selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi bersama angkasawan lain yang telah pun berada di ISS yang terletak di orbit kira-kira 333 kilometer dari muka Bumi.

* Wartawan Utusan, METRA SYAHRIL MOHAMED yang membuat liputan pelancaran Soyuz TMA-11 di Kazakhstan ialah salah seorang peserta ujian kelayakan untuk menjadi angkasawan negara. Beliau melepasi ujian perubatan aeroangkasa pertama iaitu dalam kelompok 27 peserta terakhir ujian saringan memilih angkasawan pertama Malaysia. Lebih 11,000 orang memohon menjadi angkasawan negara ketika permohonan itu dibuka pada 2003.

0 comments: