Hui Yee sebut ‘sakit’, boleh gerakkan kaki

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA


Tee Hui Yee.

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Beberapa jam selepas sedar daripada pembedahan pemindahan jantung, Tee Hui Yee, 14, sudah boleh menggerakkan bibirnya dan menyebut perkataan ‘sakit’ walaupun ia tidak jelas kerana masih terdapat tiub di dalam mulutnya.

Pagi ini, Hui Yee juga telah mula diberikan makanan iaitu susu melalui tiub yang disambungkan dari mulut ke dalam perutnya.

Penyelaras Pemindahan Jantung dan Paru-Paru Institut Jantung Negara (IJN), Noor Salina Othman berkata, keadaan penerima organ jantung itu yang dibedah sebanyak dua kali pada hari Khamis dan Jumaat lalu adalah stabil.

Selain itu, katanya, Hui Yee juga mampu menggerakkan kaki dan tangannya di atas katil melalui latihan pergerakan anggota badan dengan dibantu oleh doktor dan jururawat.

“Tekanan darah dan suhu badan Hui Yee juga berada dalam keadaan baik dan doktor sedang dalam proses untuk mengembalikan kekuatannya.

“Namun dia masih menggunakan mesin bantuan pernafasan,” kata beliau kepada pemberita di IJN di sini hari ini.

Noor Salina memaklumkan perkembangan Hui Yee itu kepada media bagi pihak Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Chew Soon Ping.

Hui Yee selamat menjalani pembedahan menerima jantung kedua pada pukul 8 pagi Jumaat lalu setelah tubuhnya didapati menolak jantung pertama yang dipindahkan kepadanya melalui pembedahan selama 10 jam pada hari Khamis.

Gadis itu bernasib baik kerana badannya memberikan tindak balas positif terhadap jantung kedua yang diterima daripada seorang remaja lelaki berusia 20 tahun dari Johor yang meninggal dunia Khamis lalu setelah mengalami kematian otak akibat kemalangan jalan raya.

Menurut Noor Salina, doktor akan terus memantau keadaan Hui Yee untuk tempoh empat hingga lima hari lagi sebelum boleh dipindahkan ke wad biasa sekiranya tiada apa-apa masalah.

Ditanya sama ada badan Hui Yee berjaya menerima sepenuhnya jantung baru itu, Noor Salina menjelaskan, penolakan organ masih boleh berlaku walaupun dalam tempoh seminggu akan datang.

“Penolakan organ masih boleh berlaku bila-bila masa sahaja, jadi kita akan sentiasa mengawasinya bagi mengelakkan perkara itu berlaku,” katanya.

Setakat ini, menurut Noor Salina, Hui Yee tidak menunjukkan sebarang tanda penolakan terhadap jantung baru itu.

Jelas beliau, Hui Yee perlu bergantung kepada ubat immunosuppressants supaya badannya tidak menolak jantung baru yang dipindahkan kepadanya.

“Hui Yee perlu mengambil ubat tersebut sepanjang hayatnya. Jika dia tidak mengambil ubat itu walaupun sekali, kemungkinan untuk badan Hui Yee menolak organ jantung itu adalah tinggi.

“Walaupun Hui Yee berasa seperti sudah sihat sepenuhnya, dia masih perlu memakan ubat tersebut. Peraturan yang sama juga perlu dipatuhi oleh penerima organ yang lain,” katanya.

Noor Salina berkata, beliau sentiasa menasihatkan penerima organ supaya tidak lupa mengambil ubat immunosuppressants walaupun selepas sembuh sepenuhnya daripada pembedahan pemindahan organ.

Utusan Malaysia turut membantu Hui Yee dengan melancarkan kempen mencari jantung untuknya dan laporan mengenai nasib gadis itu menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai.

0 comments: