Wed | Oct 03, 07 | 2:10:25 pm MYT
SEREMBAN, 3 Okt (Hrkh) - Tindakan beberapa ahli Parlimen dan politik negara jiran Indonesia mempertikai hak cipta lagu 'rasa sayang' terhadap Malaysia membayangkan betapa rakyat negara jiran berang dan hilang rasa sayang serumpun terhadap Malaysia atas beberapa sebab, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
Menurut Kamarudin, meskipun pertikaian terhadap lagu 'Rasa Sayange' itu dilihat sebagai satu perkara yang kecil, tetapi ia menandakan rasa marah rakyat negara itu terhadap sikap Malaysia dalam melayani warga Indonesia di sini.
Beberapa kes yang berlaku ke atas warga Indonesia baru-baru ini membuatkan rakyat negara itu mula membibitkan rasa marah meskipun melalui hal-hal yang kecil yang tidak sepatutnya dijadikan isu, kata Kamarudin.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini ketika mengulas isu pertikaian lagu 'rasa sayang' oleh rakyat negara jiran semalam.
Kes babitkan polis dan Rela
Mengulas lanjut beliau berkata, kes polis Malaysia mengganasi jurulatih karate negara Indonesia yang berlaku di Nilai, Negeri Sembilan baru- baru ini turut menyumbang kepada kemelut antara dua negara.
Selain itu beberapa kes membabitkan penderaan amah (pembantu rumah warga Indonesia) oleh majikan-majikan di sini juga menyebabkan rakyat negara itu mula menyimpan rasa marah terhadap Malaysia, katanya.
Sikap pertubuhan Rela dan pihak berkuasa menangani pendatang dari Indonesia selain berlakunya kes rogol warga Indonesia oleh anggota Rela menyebabkan api kemarahan membara, katanya.
Malah dasar serantau yang diamalkan Malaysia hari ini terlalu kurang memfokuskan hubungan dengan Indonesia menyebabkan negara tersebut 'kecil hati' dengan layanan yang diberikan, katanya.
Malaysia cenderung kepada Singapura, Amerika
"Malaysia lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Singapura, dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri lebih senang untuk berkunjung ke Australia, Rusia dan Amerika Syarikat menyebabkan hubungan yang selama ini agak baik menjadi renggang,"katanya.
Malaysia juga lebih banyak memberi tumpuan kepada hubungan dengan Singapura berikutan beberapa faktor politik dan kekronian berbanding Indonesia, katanya.
Kebimbangan timbul jika suatu hari nanti isu-isu seperti pertikaian lagu ini hanya akan membibitkan rasa marah lalu menyebabkan kemungkinan berlakunya 'konfrontasi' sekali lagi, katanya.
Walaupun kemungkinan pemerintan Indonesia tidak menggalakkan konfrontasi, tetapi dibimbangi jika rakyat mereka bertindak sendiri, katanya lagi.
"Kita bimbang akan keselamatan, cukup ramai pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di Indonesia jika berlaku sesuatu.Tetapi kita tidak mahu ia berlaku dan mengharapkan agar pemimpin negara kita sedia berdialog dan berbincang memperbaiki hubungan dua negara agar keadaan aman sentiasa,"katanya.
Untuk itu Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, sudah tiba masanya Malaysia mengeratkan semula hubungan antara dua negar melalyui pelbagai perbincangan antaranya hubungan dagangan, ekonomi dan politik.
Ahli Parlimen Indonesia pertikai lagu 'Rasa Sayange'
Laporan Bernama menyebut, seorang anggota Parlimen Indonesia mahu kerajaannya bertindak terhadap penggunaan lagu tradisional Indonesia 'Rasa Sayange' dalam kempen Truly Asia anjuran kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong.
Hakam Naja dari Partai Amanah Nasional dipetik oleh akhbar Jakarta Post sebagai berkata, jika kerajaan dapat buktikan lagu itu milik Indonesia, ia hendaklah menyaman kerajaan Malaysia.
"Kerajaan perlu selidik asal-usulnya, sama ada ia dari Indonesia ataupun bukan," katanya.
'Rasa Sayange' dipercayai berasal dari Maluku, Indonesia, dan dinyanyikan sejak generasi dahulu bagi menyatakan rasa cinta mereka kepada alam sekitar.
Hak cipta batik juga dipertikai
Hakam juga menuduh Malaysia telah menjadikan batik sebagai hak miliknya.
"Ini berlaku kerana kerajaan Indonesia tidak bertindak berhubung hak cipta atau untuk mempatenkan warisan negara. Jika sesiapa mahu menggunakan elemen budaya Indonesia, kerajaan perlu diberi pampasan," kata Hakam.
Priyo Budi Santoso dari Parti Golkar pula berkata, Malaysia perlu meminta izin kerajaan Indonesia untuk menggunakan lagu itu kerana ia adalah warisan negara.
Pengerusi Majlis Hak Cipta Indonesia, Enteng Tanamal, berkata tindakan untuk menyaman Malaysia mungkin tidak akan berjaya kerana tidak ada siapa tahu siapa pencipta lagu itu.
"Bagaimana nak saman Malaysia jika tidak ada siapa yang tahu siapa pencipta lagu itu? Jadi biarlah Malaysia menggunakan lagu itu sebagai lagu tema pelancongan mereka," katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan boleh menyemak dengan Jabatan Paten atau kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk cuba mengenal pasti pencipta lagu itu.
0 comments:
Post a Comment