AMK bidas Nazri Aziz, gesa letak BPR di bawah kuasa Parlimen

Salmiyah Harun
Wed | Oct 03, 07 | 4:26:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan Malaysia (AMK) mendesak kerajaan meletakkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di bawah bidang kuasa Parlimen bagi membolehkan badan itu menyiasat secara bebas.

Menurut Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa, apa yang pelik BPR sebagai sebuah jabatan di Jabatan Perdana Menteri hanya mempunyai limitasi bidang kuasa untuk menyiasat secara bebas.

Sebagai sebuah jabatan, BPR terhalang untuk menyiasat mana-mana menteri dan pegawai atasannya, begitu juga dalam kementerian lain.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz , jelas menggambarkan kedangkalan beliau, mengenai pemahaman prinsip akauntabiliti dan integriti jabatan awam yang bertanggungjawab untuk memastikan salahlaku rasuah dan penyelewengan kuasa dapat dibanteras tanpa kacau ganggu politik.

Tegas Fariz, gesaan KeADILan untuk meletakkan BPR di bawah Parlimen, tidak terhad sekadar menjalankan siasatan bebas, sebaliknya BPR melalui seliaan Parlimen boleh bertindak untuk mendakwa mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah rasuah.

Katanya, tindakan kerajaan untuk mengekalkan skop operasi BPR yang bersandarkan kepada pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang mana meningkat hanya 0.1 mata adalah satu tindakan yang tidak menyelusuri akar permasalahan dan realiti jenayah rasuah di Malaysia.

BPR katanya, masih lagi terhalang untuk membawa kes-kes elit politik yang memakan jutaan ringgit wang rakyat untuk kepentingan politik dan kerakusan kuasa puak tertentu.

"Dan ini jelas nampaknya akan dikekalkan oleh Kerajaan Umno-BN melalui pendekatan mengekalkan skop operasi BPR seperti biasa,"katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai contoh, katanya, pembebasan Datuk Johari Baharom, Tan Sri Musa Hassan, dan Dato' Zulkifli Mat Noor yang dilepaskan akibat 'kekurangan bukti & saksi' adalah jelas membuktikan bagaimana BPR tersekat daripada mendapatkan autonomi penuh penyiasatan dan pendakwaan.

"Lihat sahaja kes Tan Sri Kasitah Gaddam yang masih tergendala hingga ke hari ini, dan Tan Sri Eric Chia yang akhirnya terlepas begitu sahaja dek kerana lemahnya bidang kuasa BPR untuk menjalankan siasatan penuh, bebas dan adil," katanya.

Justeru, AMK menggesa kerajaan agar tidak terlalu menyempitkan skop operasi BPR demi menjamin ketelusan pembasmian jenayah rasuah yang semakin parah dari hari ke hari.

"Kerajaan perlu menerima hakikat bahawa jenayah rasuah di Malaysia akan terus dan kian parah, dek kerana sekatan demi sekatan yang kerajaan laksanakan ke atas BPR untuk menjalankan amanah membanteras rasuah khususnya di kalangan elit politik, rakyat sudah muak dengan budaya menangkap 'ikan bilis' semata-mata di saat 'jerung' terus dibiar membaham khazanah rakyat,"katanya. - mr


0 comments: