Media cemar reputasi Abim, siar gambar anggotanya dalam berita kes bunuh Nurin

Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Oct 03, 07 | 2:28:42 pm MYT

SEREMBAN, 3 Okt (Hrkh) - Peristiwa yang menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin baru-baru ini memang menyentuh perasaan seluruh rakyat Malaysia .

Justeru itu menjadi harapan kepada semua pihak agar pihak yang terbabit dengan pembunuhan kes tersebut dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Bagaimanapun keghairahan pihak media mendapatkan berita terhadap kes ini perlu beretika agar tidak menjejaskan perasaan keluarga Allahyarham Nurin serta mereka yang tidak bersalah, kata Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Khairul Ariffin Muhammad Munir.

Abim amat kesal dengan beberapa akhbar dan media tempatan yang telah melakukan kesilapan dengan menerbitkan foto Setiausaha Eksekutif Abim Pusat, Azwiralbukhari Abdul Aziz, dengan berita berhubung kes kematian Nurin, dua hari lalu.

Beliau yang ketika di tempat kejadian sedang menziarahi dan membantu keluarga salah seorang pemuda yang dibebaskan oleh polis, kata Khairul Ariffin dalam satu kenyataannya hari ini.

Memandangkan kes ini adalah kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia maka penyiaran gambar tersebut sebagai salah seorang suspek telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai aktivis belia dan masyarakat lebih-lebih beliau berkhidmat di bawah organisasi seperti Abim, katanya.

Sehubungan itu Abim meminta pihak media yang terlibat membuat pengumuman ralat di dalam penerbitan akhbar dengan serta merta berikutan kesilapan tersebut, katanya.

Seterusnya pihak media diminta agar tidak akan mengulangi kesilapan membabitkan beliau atau mana-mana orang awam yang tidak bersalah samada di dalam bentuk akhbar atau dalam bentuk yang lain pada masa-masa akan datang, katanya.

"Tidak dapat dinafikan peranan media amat penting khususnya dalam kes ini kerana masyarakat inginkan perkara yang sebenarnya berlaku. Namun media perlu bertanggungjawab dan teliti dalam mendapatkan kesahihan sumber maklumat tersebut,"katanya.

0 comments: