Angkasawan: Program khas untuk pelajar dirancang

KUALA LUMPUR: Program angkasawan negara bukan setakat menjalankan kajian saintifik serta melonjakkan kemajuan sains dan teknologi negara, sebaliknya perlu dilihat lebih menyeluruh, iaitu menggalak dan menanam minat generasi muda menerokai ilmu sains.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata program itu akan menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk mendalami bidang sains dan teknologi, sekali gus meningkatkan aspek psikologi generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, kementerian merancang mengadakan pelbagai program khas untuk pelajar sekolah mengikuti program perjalanan angkasawan bertujuan menanam sikap bangga dengan kejayaan anak tempatan menerokai angkasa.

"Kira-kira lima juta pelajar sekolah dan 26 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaatnya dan menggunakan hasil kajian dan pengalaman angkasawan negara sebagai rujukan.

"Kedua-dua angkasawan itu akan dilantik sebagai duta angkasa, menjelajah ke sekolah apabila misi mereka berjaya," katanya dalam taklimat ringkas mengenai program angkasawan negara sempena jamuan berbuka puasa bersama media, di sini, malam tadi.

Seorang daripada dua calon angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha atau Dr Faiz Khaleed dijangka berlepas dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan menaiki pesawat Soyutz ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Projek angkasawan Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di dunia kerana dibangunkan pada asas timbal balas bagi pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.44 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Jamaludin berkata, pada 14 Oktober, angkasawan negara akan mengadakan sidang video pertama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada hari kedua.

0 comments: