Polis mula bongkar rahsia kad SIM

Oleh Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: Kad SIM telefon bimbit yang ditelan suspek wanita Indonesia yang disiasat bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, sudah dihantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, untuk dianalisa.

Sumber memberitahu Berita Harian, Unit Forensik sedang membuat analisis sama ada kad itu masih boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat yang dipercayai dapat membantu mengenai kehilangan dan pembunuhan murid Tahun Dua itu yang mayatnya ditemui pada 17 September lalu.

�Analisa sedang dijalankan dan kita tidak tahu sejauh mana kad SIM itu dapat membongkar rahsia pembunuhan Nurin Jazlin.

�Bagaimanapun, jika masih boleh digunakan, kemungkinan kita dapat mengambil maklumat yang tidak rosak termasuk nombor telefon atau SMS yang dihantar suspek,� katanya.

Beliau berkata, nombor siri di belakang kad SIM itu mencukupi untuk mengenal pasti nombor telefon bimbit yang digunakan suspek.

Semalam, akhbar melaporkan, selepas enam hari menunggu, doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya mengeluarkan kad SIM yang ditelan suspek wanita itu.


Wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk menyambung reman.

Suspek yang disambung reman enam hari lagi dikatakan menelan kad SIM itu ketika dalam tahanan polis kerana dipercayai mengandungi maklumat yang dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketika dihubungi semalam berkata, polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat berhubung kes itu.

�Kad SIM itu sudah dihantar dan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk dianalisa dan polis perlu menunggu keputusannya sebelum mengambil tindakan susulan,� katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan berkata, polis juga sedang menyiasat dakwaan orang ramai yang menghubungi talian RakanCop mendakwa melihat seorang lelaki dan wanita yang menyamai lakaran wajah dua suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Lelaki dan wanita itu dikatakan menaiki tren Star LRT dari Stesen Bandar Tun Razak di sini, pagi kelmarin.

Lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun dan wanita dalam lingkungan 20-an itu, bagaimanapun menghilangkan diri di tengah kesesakan orang ramai selepas turun di Stesen Masjid Jamek, kira-kira jam 8 pagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menulis laporan tanpa mendapatkan fakta yang betul kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis.

0 comments: