Kematian koperal ada unsur jenayah

Oleh Arhiza Ahmad

SEREMBAN: Laporan bedah siasat mendapati, kematian anggota polis berpangkat koperal di lorong belakang bangunan kedai di pusat perniagaan Lavender Heights, Senawang, dekat sini, pagi kelmarin, akibat dilanggar sebuah kenderaan.

Keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Armizon Jaafar, 35, oleh doktor pakar Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azlly Kamaruddin, berkata laporan bedah siasat mendapati beberapa tulang mangsa patah termasuk pinggul dan rusuk, pundi kencing pecah serta kepalanya retak akibat dilanggar kenderaan.

"Walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa akibat dilanggar oleh kenderaan tetapi kita masih menjalankan siasatan terperinci dari segenap aspek termasuk kemungkinan berlaku unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.

"Ini termasuk mengenal pasti di mana kemalangan itu berlaku dan bila ia berlaku," katanya ketika ditemui di majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Plaza Tol Senawang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pagi kelmarin, Armizon ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kepala berlumuran darah oleh pengawal keselamatan yang meronda di lorong belakang bangunan kedai di pusat Lavender Heights, kira-kira jam 7.45 pagi.

Beliau bertugas di Cawangan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Saiful Azlly berkata, beliau juga sudah meminta pegawai trafik supaya menjalankan siasatan merangkumi segenap aspek termasuk mengenal pasti kenderaan yang terbabit melanggar mangsa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

0 comments: