Kerajaan adil terhadap semua agama: TPM

Oleh Khirul Bahri Basarudin, Johan Afandi


MANFAAT RAMADAN: Najib bersama (dari kiri) Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Abdul Ghani bertadarus di kediaman Menteri Besar di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU: Keupayaan kerajaan memimpin dan mentadbir negara dengan memberi peluang kepada semua rakyatnya untuk bebas mengamalkan agama masing-masing adalah bukti Islam tidak pernah memusuhi agama lain serta sentiasa terbuka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, berkata kerajaan yang bertunjangkan Umno sentiasa bersikap adil kepada rakyat yang tidak menganut Islam dan mereka bebas mengamalkan agama masing-masing, asalkan tidak memerangi Islam.

"Sebab itu, Malaysia menjadi contoh kepada negara Islam dan bukan negara Islam, bagaimana rakyat berbilang kaum dan agama hidup aman di bawah pemerintahan kerajaan Islam.

"Dunia sudah mengiktiraf kejayaan ini, jadi sudah tentu kerajaan mahu ia terus dikekalkan dan dengan pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita mahu ajaran Islam diamalkan lebih menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan bukan sekadar ibadat khusus semata-mata," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Masjid Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, berharga RM3.5 juta, hasil sumbangan kerajaan Pusat serta anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mutiara Rini Sdn Bhd.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof dan Mufti negeri, Datuk Noh Gadot.

Mohd Najib berkata, kejayaan kerajaan menguruskan negara dengan baik serta diterima semua lapisan masyarakat, menyebabkan semua rakyat dapat mengamalkan pegangan agama masing-masing, termasuk juga umat Islam.

"Di sini (Malaysia), kita dapat lihat banyak masjid baru yang cantik, indah dan besar dibina di merata tempat tanpa rasa takut seperti di sesetengah negara. Ini semua menunjukkan kerajaan berjaya mentadbir negara dengan baik hingga rakyat dapat hidup dengan selesa tanpa perlu rasa takut walaupun tidak mengamalkan agama sama," katanya.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam tidak mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara maka nasib mereka akan terus malang dan ditindas serta dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif.

"Sebagai contoh, Barat sentiasa mengaitkan dunia Islam dengan kemiskinan, taraf pendidikan dan kesihatan rendah, mundur dan lebih malang dikaitkan dengan keganasan.

"Sebab itu, kejayaan Malaysia menguruskan negara dengan baik di bawah pemerintahan Islam sebenarnya, membuka mata banyak pihak dan kita kini menjadi model kepada negara Islam lain di dunia," katanya.

0 comments: