Gabungan belia bantah penindasan Myanmar

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Gabungan 14 persatuan ikatan belia dan parti politik ‘bagi keamanan dan kebebasan di Myanmar’ menyerahkan memorandum bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat negara itu kepada wakil duta Myanmar di sini hari ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, matlamat utama penyerahan memorandum tersebut adalah bagi menyuarakan bantahan terhadap keganasan dan penindasan oleh junta tentera di negara itu.

‘‘Ini merupakan cara kami meluahkan kata hati dan kebimbangan ke atas nasib rakyat Myanmar yang sedang berusaha memperjuangkan hak rakyat di tanah air mereka.

‘‘Sebagai negara jiran, kami (wakil gabungan persatuan) mahukan pihak bertanggungjawab agar menghentikan pembunuhan serta membentuk keamanan tanpa menggunakan kekerasan,’’ katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum di kedutaan Myanmar di sini.

Tambah beliau, memorandum itu juga merupakan tanda protes terhadap pencabulan hak asasi oleh pihak tentera ke atas rakyat Myanmar selain pergolakan yang melibatkan isu keagamaan dan proses mengembalikan keamanan.

‘‘Kami juga menuntut pembebasan pemimpin Myanmar yang dipilih secara demokrasi iaitu Aung San Suu Kyi, seterusnya membenarkan pilihan raya yang bebas dan adil diadakan serta dipantau oleh badan antarabangsa,’’ katanya.

Turut hadir pada perhimpunan tersebut ialah Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Gerakan, Datuk Mah Siew Keong; dan Pengerusi Akademi Belia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Khairy berkata, penyerahan memorandum itu merupakan tanda sokongan gabungan persatuan belia terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menegaskan negara itu perlu menghentikan konflik politik.

Abdullah menyeru junta tentera Myanmar berusaha menstabilkan sistem demokrasi negara itu semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-62 di New York baru-baru ini.

0 comments: