Kes bunuh Altantuya: Imej jip dirakam malam sama Altantuya hilang

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Saksi akui masalah teknikal sebabkan gambar tidak jelas

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu imej sebuah jip dan pemandunya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Kota Damansara pada malam 19 Oktober 2006, malam sama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang, tidak jelas.

Pembantu Pengurusan Plus Expressway Bhd, Mohd Bahir Dal, 38, berkata walaupun CCTV itu dipasang betul-betul di depan pondok tol, imejnya tidak jelas kerana kamera berkenaan tidak mempunyai keupayaan untuk memfokus.

Menjawab soalan peguam tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Hazman Ahmad, Mohd Bahir berkata, imej rakaman CCTV di kebanyakan plaza tol tidak jelas kerana keadaan kamera atau kedudukan kenderaan yang jauh daripada kamera.

Disoal Hazman sama ada peratusan dikira oleh Plus bagi rakaman tidak jelas sehingga nombor pendaftaran dan pemandu kenderaan tidak dapat dipastikan, Mohd Bahir berkata sehingga kini belum ada pengiraan dibuat mengenainya.

Ketika diminta merujuk empat gambar rakaman CCTV imej kenderaan menyerupai sebuah jip yang melalui Plaza Tol Kota Damansara, Mohd Bahir berkata gambar dilabel A, B dan D menunjukkan kenderaan itu memasuki plaza tol, manakala gambar C ia keluar dari Plaza Tol Jalan Duta pada masa berbeza.

Saksi ke-36 pendakwa itu berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada jip yang dilihatnya dalam gambar C adalah kenderaan yang sama seperti dalam gambar A, B dan D.

Hazman: Gambar C kamu tidak pasti, jadi bagi gambar B dan D, bolehkah kamu katakan ia adalah kenderaan yang sama seperti dalam gambar A?

Mohd Bahir: Persamaannya hanyalah ia sebuah jip. Saya tidak boleh cakap ia adalah kenderaan sama serta tidak dapat pastikan siapa yang memandunya.

Hazman: Setuju, ada kemungkinan gambar B dan D bukan jip dalam gambar A?

Mohd Bahir: Ketika itu, berdasarkan P119 hanya jip ini yang lalu dan tiada jip lain.

(P119 adalah 'Maklumat Terperinci Pemilikan Kad Touch n' Go' bagi penama Koperal Sirul Azhar Umar iaitu tertuduh kedua, yang menunjukkan masa, tarikh, tempat dan rekod transaksi lain penggunaan kad berkenaan di plaza tol Kota Damansara dan Jalan Duta)

Hazman: Maksudnya, kamu buat andaian berdasarkan P119, bentuk jip dalam gambar B dan D sama dengan A?

Mohd Bahir: Ya.

Disoal Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin, Mohd Bahir berkata, sebelum ini beliau pernah melihat gambar pemandu kenderaan dengan jelas pada pita rakaman CCTV yang diambil di plaza tol lain.

Mohd Zaki: Di plaza tol Kota Damansara sebelum ini pernah nampak?

Mohd Bahir: Tidak.

Mohd Zaki: Kenapa di plaza tol lain dapat lihat, di Plaza Tol Kota Damansara tiada?

Mohd Bahir: Kamera tidak diletakkan dengan betul dan tidak mempunyai keupayaan untuk memfokus.

Terdahulu, disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pemeriksaan utama, Mohd Bahir berkata dengan merujuk P119, pada transaksi 62833, jip Suzuki dengan nombor pendaftaran CAC 1883 (milik Sirul Azhar) memasuki plaza tol itu dan gambar CCTV (P116) yang dirakam adalah gambar A.

Tun Abdul Majid: Tapi masa masuk yang dicatatkan pada gambar A adalah 7:14:40 (7.14 petang) di Plaza Tol Kota Damansara, sedangkan dalam P119 masa keluar adalah 7:14:47 (7.14 petang) di Plaza Tol Jalan Duta. Jika dilihat pada masa ini, 7 saat diambil untuk masuk di Plaza Tol Kota Damansara dan keluar di tol Jalan Duta. Ini adalah mustahil, bukan?

Mohd Bahir: Ya.

Saksi bersetuju masa yang ditunjukkan rakaman dalam CCTV dan sistem Touch n' Go adalah berbeza kerana sistem berlainan.

Mohd Bahir berkata, gambar B, C dan D menunjukkan sebuah jip yang mempunyai nombor pendaftaran yang tidak jelas serta tidak dapat dipastikan jenisnya.

"Jip dalam gambar B dan D mempunyai bentuk yang lebih kurang sama seperti gambar A, manakala gambar C saya tidak pasti.

"Gambar A, B, C dan D ini dirakamkan daripada rakaman CCTV yang dihentikan seketika dengan berpandukan masa yang dinyatakan dalam transaksi P119," katanya.

Disoal Tun Abdul Majid, Mohd Bahir berkata, tiada rakaman pergerakan jip dibuat di Plaza Tol Jalan Duta kerana pada ketika itu, CCTV mengalami masalah teknikal.

Menjawab soalan Hazman sama ada beliau masih boleh pastikan ia jip yang sama walaupun tiada rakaman di Plaza Tol Jalan Duta, Mohd Bahir berkata beliau pasti ia kenderaan sama dengan merujuk pada masa dalam P119.

Perbicaraan bersambung Rabu depan.

0 comments: