Tempurung kepala dibuang untuk selamatkan nyawa

Dibuang untuk selamatkan nyawa




JARI tangan Pakar Bedah Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Farizal Fadzil menyapu lembut cecair iodin di sekitar kepala Mohd. Hanif yang berlekuk.

Suasana di Bilik Bedah Neuro 1 itu senyap seketika apabila Farizal memulakan torehan. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Farizal.

Tumpuan mereka terpaku pada lekukan di sebelah kanan kepala pesakit. Dengan penuh teliti umpama mengukir karya seni, lapisan kulit kepala itu dibuka, mendedahkan selaput otak yang berwarna putih.

Kemudian, seorang petugas membawa sekeping tempurung kepala di dalam mangkuk khas. Tulang itu dicuci sebelum dicantum semula ke kepala pesakit.

Lapan bulan lalu, sebahagian tempurung kepala Mohd Hanif terpaksa ‘ditanggalkan’ selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tempurung setebal 16x12 sentimeter itu disimpan di dalam bank tulang HKL pada suhu -70 darjah Celsius.

Menurut doktor, tulang itu masih boleh berfungsi walaupun selepas sembilan bulan disimpan di bawah suhu sejuk beku itu.

“Cukup empat plat dan lapan skru,” tiba-tiba Farizal bersuara setelah menanda pada kepingan tulang itu.

Berdiri cukup hampir dengan meja pembedahan, penulis ditunjukkan skru yang hanya sebesar setengah milimeter dan plat sebesar kuku jari kelengkeng bayi yang digunakan bagi menyambung kedua-dua tempurung itu.


PEMBEDAHAN kranioplasti memerlukan ketelitian kerana ia melibatkan pelindung otak yang sangat sensitif.


Proses melekatkan kembali tempurung kepala itu berlangsung tidak sampai 15 minit.

Tepat pukul 5.30 petang, Jumaat lalu, bahagian terakhir kulit kepala Mohd Hanif sempurna dijahit.

Enam jam sebelum itu, di Wad Neuro 4A, isteri Mohd Hanif, Najati Jalil mengelus lembut rerambut halus di kepala suaminya dengan penuh kasih sayang. Di dalam hatinya cuma Tuhan yang tahu.

Semenjak Mohd. Hanif terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, HKL sudah menjadi seperti rumah kedua Najati.

Namun, guru dua anak ini reda dengan ketentuan Ilahi. Bagaimanapun, beliau amat berharap pembedahan kranioplasti yang dijalankan lapan bulan lalu akan berjaya.

“Tapi untuk sementara waktu, bentuk kepalanya akan leper. Selepas tekanan otaknya stabil dan tiada jangkitan, kita akan pasang semula tempurung itu,” terngiang-ngiang Najati dengan penjelasan doktor pakar ketika itu.

Mengharungi detik duka sepanjang Mohd Hanif koma dan mengalami beberapa komplikasi lain, akhirnya Tuhan memakbulkan doa Najati.

“Keadaannya semakin baik. Dia sudah boleh membuka mata setiap kali saya memanggil namanya,” cerita wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Muar, Johor ini.


DR. AZMI ALIAS


Sejak dibuang sebahagian daripada tempurung kepalanya, Mohd Hanif cepat letih dan lebih banyak tidur.

“Pernah berlaku jangkitan tetapi mujur cepat dikesan dan dirawat. Ini termasuk satu pembedahan pintasan bagi membuang lebihan cecair di dalam kepalanya,” ujar Najati sambil menunjukkan bahagian yang dibedah.

Sesekali, terbias riak bimbang di wajah wanita ini.

Kranioplasti teknik purba

Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri di Jabatan Neurosurgeri HKL, Dr. Azmi Alias, pembuangan sebahagian tempurung kepala bukanlah sesuatu yang baru.

Bukti arkeologi mendedahkan teknik itu telah digunakan oleh masyarakat prasejarah untuk mengubati penyakit berkaitan kepala.

Pada zaman ini, teknik yang dikenali sebagai kranioplasti ini sering digunakan untuk merawat mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan otak yang serius.

“Sistem auroregulasi yang gagal berfungsi menyebabkan tekanan intrakranial meningkat secara mendadak. Ini boleh menyebabkan pusat otak yang mengawal sistem pernafasan dan jantung tertekan, seterusnya menyebabkan kematian,” jelas Azmi.

Secara umum, otak manusia membentuk sistem saraf pusat yang mengawal segala aktiviti tubuh seperti pernafasan, degupan jantung, pergerakan anggota, kawalan hormon, pemikiran, ingatan dan perasaan.

Justeru, prosedur membuang sebahagian tempurung kepala dilakukan agar tekanan intrakranial boleh dialir keluar dan dikurangkan melalui bukaan di bahagian tulang kranium tersebut.


PLAT dan skru digunakan untuk menyambung semula tempurung kepala.


Selain kemalangan, jangkitan dan keretakan tulang kranium serta ketumbuhan memerlukan pesakit menjalani pembedahan ini.

Menceritakan aspek fisiologi dan psikologi bagi mereka yang menjalani pembedahan ini, Azmi menjelaskan walaupun ada, semuanya akan beransur hilang mengikut peredaran masa.

Jelas beliau, pesakit lazimnya akan mengalami sindrom trefin seperti letih, sakit kepala, hilang tumpuan, cepat marah, kurang toleransi terhadap bunyi bising, kurang daya ingatan dan lemah anggota badan.

“Semua ini disebabkan oleh tekanan atmosfera secara langsung terhadap peredaran darah mikro dan sistem aliran cecair di bahagian korteks otak yang terdedah tanpa perlindungan tempurung kepala.

“Selain itu, kadangkala berlaku perubahan pada struktur anatomi otak seperti pembesaran sistem ventrikel dan perpindahan struktur otak ke arah yang bertentangan,” jelasnya.

Lekuk ubah rupa pesakit

Menyentuh mengenai kesan lekuk, Azmi menerangkan, ia masih boleh dilihat dengan jelas jika melibatkan bahagian dahi dan atas mata seterusnya menjejaskan rupa paras pesakit.

“Disebabkan inilah, pembedahan kosmetik diperlukan bagi memberi perlindungan kepada bahagian otak dan memperbaiki semula bentuk kepala yang abnormal,” katanya.


SELAMA lapan bulan Najati (kanan) sabar menunggu tempurung kepala suaminya, Mohd Hanif dicantum semula di Hospital Kuala Lumpur.


Azmi berkata, fungsi tulang tempurung sebagai benteng pertahanan bagi otak adalah sangat kritikal.

Secara am, terdapat tiga jenis bahan yang digunakan bagi membentuk plat kranioplasti dan semuanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ia bergantung kepada keadaan pesakit.

Apa pun, kajian mendapati pesakit yang menjalani pembedahan kranioplasti ini mengalami perubahan kesihatan yang lebih baik.

Kebanyakan mereka yang asalnya kerap mengalami sakit kepala sebelum pembedahan, kini berkurangan malah ada yang hilang langsung.

Azizi tidak ingat apa-apa – Ibu

DULU, Azizi Khalib, 17, merupakan seorang remaja dan murid yang ceria. Dia aktif dalam sukan kegemarannya, bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tetapi keceriaan bertukar menjadi kisah sedih apabila motosikal yang dinaiki terbabit dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Teh, 3 Mac lalu.

Ekoran kemalangan itu, berlaku pendarahan otak menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

“Saya pilu melihat keadaannya. Sebelum ini dia ada beritahu hasrat untuk melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi kini masa depannya tidak menentu,” ujar ibunya, Roslina Che Ros, 39.


AZIZI terpaksa disuapkan makanan oleh ibunya di Kampung Bukit Teh, Butterworth.


Tempurung kepala Azizi yang dikeluarkan masih berada di makmal Hospital Pulau Pinang (HPP). Kos pembedahan bagi memasukkan semula tempurung kepalanya yang dijadualkan pada 6 Julai ini kira-kira RM1,200.

Azizi kerap menangis bila menyentuh bahagian kepalanya yang tidak bertempurung. Menurut Roslina, ramai rakan sekolah Azizi turut bersedih melihat wajah anaknya itu yang tidak seceria dulu.

Azizi yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM November ini tidak mampu mengingati apa-apa selepas kemalangan itu. Malah dia tidak dapat mengeja namanya sendiri. Apa yang hanya mampu dilakukan ialah menangis apabila berasa sakit atau tidak selesa.

Bagi memastikan Azizi dijaga sepenuhnya, Roslina yang bekerja di sebuah kilang di Perai dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan, mengambil keputusan berhenti kerja.

Selain Azizi, tiga anaknya yang lain ialah Mohd Amirul, 14, Nor Atika, 12, dan Nor Aini, 10.

Suami Roslina, Khalid Yahya, 45, cuma bekerja kampung termasuk membuat buluh pancang yang ditempah penduduk kampung untuk projek menanam sayur-sayuran.

Roslina yang cekal menguruskan keluarganya memberitahu, beliau tetap menaruh harapan tinggi agar anaknya itu kembali pulih.

“Terkini, doktor di HPP memberitahu pembedahan itu boleh dilakukan pada 6 Julai depan. Biarpun fizikal Azizi tidak pulih sepenuhnya, saya berharap ingatannya kembali normal kerana saya rindu untuk mendengar suaranya memanggil saya ibu.

“Biarpun berat mata memandang, sebagai ibu saya sentiasa berdoa agar kepada Tuhan selain reda dengan ketentuan-Nya,” ujar Roslina. – ABD. RAZAK OSMAN

0 comments: