Dasar melangkah ke depan
“KALAU ikut saya esok saya nak ubah,” demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya kenapa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak dimansuhkan segera.
Beliau yang kelihatan ceria dan segak berbaju batik berkata, persiapan sebelum penguatkuasaan pemansuhan PPSMI pada 2012 adalah perlu supaya masyarakat dan pelajar benar-benar bersedia dengan perubahan yang dilakukan.
“Jangan kita ulangi masalah yang berlaku ketika kita mula-mula hendak laksanakan PPSMI dahulu,” kata beliau yang juga Menteri Pelajaran.
Menurut beliau, perubahan pengurusan pendidikan negara perlu dilakukan dengan berhati-hati. Dengan adanya tempoh masa yang mencukupi akan memudahkan kerajaan membuat persiapan yang sewajarnya serta lengkap.
Dalam wawancara yang berlangsung selama 40 minit di pejabatnya di Putrajaya Khamis lalu oleh wartawan Mingguan Malaysia Zin Mahmud, Ku Seman Ku HussAin, Marhaini Kamaruddin dan Hafizahril Hamid, beliau menegaskan, keputusan yang dibuat adalah tepat dan telah mengambil kira semua perkara namun yang paling penting sekarang ialah soal pelaksanaan.
“Dengan sokongan daripada ibu bapa, pelajar dan masyarakat, saya yakin perubahan ini boleh mempertingkatkan kemajuan sistem pendidikan negara ini,” kata Muhyiddin.
MINGGUAN: Bagaimana dengan reaksi yang diterima selepas pengumuman pemansuhan PPSMI Rabu lalu?
MUHYIDDIN: Setakat ini secara umumnya ramai yang menerima, namun saya juga telah menjangka ia tidak akan memuaskan hati semua pihak. Ada pihak yang berpandangan usaha pelaksanaan PPSMI adalah satu usaha yang baik kerana ia meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pembelajaran Matematik dan Sains.
Namun seperti yang saya umumkan sebelum ini kita tidak membuat kajian dan keputusan dengan tergopoh gapah malah ada pihak yang menganggap keputusan ini perlu dilakukan lama sebelum ini. Namun kita mengkaji dan menunggu satu pusingan dahulu baru membuat keputusan walaupun ada pihak yang menyatakan pemansuhan ini perlu dibuat lebih awal. Bila kita buat penilaian perlu melihat semua perkara dan bukan tunggu orang desak baru kita nak buat sesuatu perkara. Keputusan ini berdasarkan kajian yang mendalam dan akhirnya keputusan ialah kembali menggunakan bahasa Melayu. Tapi saya tidak menyatakan bahawa kita berundur ke belakang.
Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dihasratkan. Yang saya nyatakan ialah dasar baru yang boleh membawa kita ke hadapan. Saya ingin pastikan bila buat keputusan itu ada satu keseimbangan iaitu penting bagi kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa Inggeris.
Ini kerana kedua-dua perkara ini penting. Jika kita tidak teruskan dasar lama orang akan kata perlu ada penggantian. Maka dari satu sudut ia seimbang umpama satu pendekatan serampang dua mata iaitu memartabatkan bahasa Melayu dan saya tidak menyatakan dengan panjang lebar ketika pengumuman semalam namun Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran akan mengumumkan selebihnya tentang perkara itu.
Satu lagi ialah bagaimana hendak memperkukuhkan bahasa Inggeris kerana di negara ini kita telah lama laksanakan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Dalam pengumuman saya ada nyatakan penambahbaikan yang akan dilakukan antaranya penambahan waktu, pendekatan pengajaran, penambahan guru dengan disokong penggunaan ICT dan makmal bahasa Inggeris.
Maka secara umumnya saya dapat lihat perkara ini diterima baik dari pertemuan dan mesej yang saya terima ramai yang berpuas hati namun ada juga yang sebaliknya kerana mengambil beberapa contoh ada sekolah yang mendapat keputusan paling baik kerana pelaksanaan PPSMI dan guru besar serta PIBG tidak bersetuju dengan pemansuhan ini.
Saya akui ada yang mendapat faedah besar dari PPSMI namun bukan semua sekolah mendapat keputusan sebegitu. Kalau keputusannya baik sudah tentu kita akan teruskan namun ia tidak begitu. Tapi malangnya di Malaysia ini kita ada 180,000 sekolah mengambil sekolah rendah dan menengah majoritinya tidak begitu. Yang kita kata PPSMI itu sebenarnya ramai sekolah yang mengajar dalam bahasa Melayu. Lebih banyak penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran PPSMI, jadi apa maknanya itu.
Matlamatnya adalah mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi ramai cikgu di sekolah yang mengajar dalam bahasa Melayu kerana kekurangan guru dan murid-murid tidak berapa faham.
Bagaimana dengan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu?
MUHYIDDIN: Pertamanya kita perlu faham perubahan ini tidak melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.
Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah dengan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.
Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.
Dari segi pelaksanaan saya rasa tidak timbul banyak masalah. Ini kerana sebelum PPSMI dilaksanakan kita telah lahirkan ramai profesional-profesional berjaya dalam bidang masing-masing seperti doktor, peguam, arkitek dan sebagainya.
0 comments:
Post a Comment