Jawablah Tok Guru...

Jawablah Tok Guru...

Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT

AWANG tertarik dengan cabaran Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin agar Pas membuktikan tuduhannya bahawa UMNO tidak memperjuangkan syiar Islam.

Memandangkan Pas secara konsisten membuat tuduhan tersebut, beliau meminta parti itu menyenaraikan sejak 20 tahun lalu, apa rencana pembangunan berbentuk agama dan sosio ekonomi yang telah dilaksanakan.

Setakat semalam, Pas membisu. Malah Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat yang sebelum itu membuat tuduhan tersebut, tidak bersedia menyahut cabaran Muhyiddin.

Awang sempat meninjau kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai, baru-baru ini termasuk ceramah Muhyiddin. Isu tersebut antara yang dimainkan oleh Pas dan Muhyiddin mengambil strategi bukan setakat menafikan malah mencabar Pas. Dalam ceramahnya, Timbalan Perdana Menteri secara langsung dan tidak langsung telah menyenaraikan apa yang telah dilakukan oleh UMNO sejak merdeka lagi. Ia bermula dengan perlembagaan UMNO itu sendiri menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam selain menjadikan Malaysia negara Islam.

Beliau kemudian menyebut tentang kerajaan pimpinan UMNOlah yang paling banyak membina masjid, surau, sekolah agama dan peruntukan kewangan untuk pelajaran umat Islam termasuk di Kelantan. Muhyiddin turut mengimbas penubuhan Tabung Haji, Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam dan banyak lagi. ‘‘Siapa yang lebih memperjuangkan syiar Islam? Jawabnya UMNO. Apa yang Pas lakukan selain bercakap?” tanya beliau dan disambut spontan oleh para hadirin: ‘‘tak da!”

Soal reaksi positif para pengundi yang mendengar ceramah dan keputusan pilihan raya nanti mungkin berbeza, adalah soal lain. Yang pasti sebahagian rakyat Kelantan menyedari hakikat bahawa Pas masih di belakang UMNO dalam memperjuangkan syiar Islam. Ada lagi yang Awang rasa Muhyiddin tidak nyatakan iaitu di bawah kepimpinan UMNO, Malaysia disegani di seluruh dunia atas kapasiti sebagai negara Islam. Ketika era kepimpinan Mahathir Mohamad, pengurusan Malaysia diiktiraf sebagai model pengurusan negara Islam yang terbaik dan menjadi rujukan banyak negara. Ada lagi yang Awang ingin tambah, bagaimana Pas mahu mendabik dada memperjuangkan Islam jika parti itu bukan dominan dalam pakatan pembangkang? Semua orang tahu, DAP yang lebih berkuasa sementara Pas terutama Nik Aziz hanya tunduk akur tanpa berani menyuarakan kepentingan Islam. Beliau juga lebih rela bermuslihat dengan DAP dan PKR daripada duduk berbincang dengan UMNO dalam isu perpaduan Islam sehingga menghampakan ramai orang Islam. Apakah hakikat itu juga menjadi sebab Tok Guru keberatan untuk menyahut cabaran Muhyiddin?

0 comments: