Kelincahan tarian pena Rashidah

Kelincahan tarian pena Rashidah

Tajuk Buku: Memoir Rashidah Ismail: Pendeta Za'ba dan Kisah Silam

Pengarang: Rashidah Ismail

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Terbitan: 2009

Harga: Kulit Lembut RM50.00

No. ISBN: 978-967-942-902-2 (paperback)

Pengulas: SAADAH JAFFAR

MEMOIR setebal 348 halaman ini melahirkan suara hati wanita yang suatu ketika dahulu pernah terjun ke dunia kewartawanan. Penceritaannya dirungkaikan menerusi Memoir Rashidah Ismail: Pendeta Za'ba dan Kisah Silam.

Sebenarnya, kisah yang dipaparkan oleh beliau amat menarik untuk ditelusuri baris demi baris. Beliau menyingkap suatu tirai sejarah yang merakamkan kisah suka duka, pahit maung, kehidupan masyarakat Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Singapura pada zaman sebelum Merdeka dahulu.

Mereka yang disentuh termasuklah sebilangan tokoh yang namanya sudah tidak dikenali atau diingati lagi oleh generasi semasa. Rashidah pernah bekerja di organisasi media seperti di surat khabar dan majalah.

Wanita yang kini menginjak ke usia 79 tahun, begitu banyak menghabiskan masa dengan membaca pelbagai bahan bacaan.

Beliau berpandangan, keghairahannya yang menjadikan rutin menulis dan membaca seperti makan dan minum sungguh memudahkan kerjayanya.

Hasilnya, beliau banyak melontarkan buah fikirannya untuk diterjemahkan ke dalam bentuk penulisan bermula pada awal 1950-an di majalah Utusan Filem dan Sports, Berita Harian, Berita Minggu dan Utusan Melayu.

Kerjaya dan rentak hidup Rashidah banyak dipengaruhi oleh Pak Longnya, Pendeta Za'ba. Beliau pernah tinggal sebumbung bersama-samanya.

Rencah kehidupannya menjadi lebih menarik untuk terus diikuti kerana banyak kisah lain yang sempat dicoretkan oleh beliau menerusi paparan di dalam memoir ini.

Wanita ini yang juga anak saudara kepada Pendeta Za'ba, pastinya berjiwa kental kerana mampu menerima banyak cabaran, menggalas beban dan memikul tanggungjawab agar setiap tugasan yang diberikan kepadanya berjaya dilaksanakan mengikut kehendak ketuanya. Istilah biasa bagi orang surat khabar seperti dirinya adalah mengejar date-line.

Beliau sempat berkongsi cerita, menerusi kaca matanya mengenai keseronokan hidup bersama Pendeta Za'ba di dalam memoir ini. Menerusi bahagian ini juga pembaca boleh meneladani tentang kegigihan Za'ba iaitu salah seorang pejuang bahasa Melayu. Pengarang melahirkan rasa kecintaannya yang cukup mendalam terhadap keluarga Za'ba.

Sebahagian daripada tugasan rutin Rashidah adalah bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat bagi mewawancara dan mendapatkan sumber yang bakal dijadikan bahan tulisan.

Pelbagai ragam dunia pemberitaan dan kewartawanan cuba dikongsi oleh Rashidah untuk tatapan generasi selepas kelahirannya.

Khalayak dapat menyaksikan coretan kisahnya bersama-sama rakan-rakan wartawan sezamannya dalam bidang kewartawanan seperti Keris Mas, Hashim Hasan, Buyung Adil, A. Samad Ismail, Abdullah Husain, Asraf, Usman Awang dan lain-lain.

Rashidah juga beranggapan bahawa bekerja sebagai wartawan surat khabar adalah kerja yang paling mencabar minda dan susah sekali. Namun, pekerjaan itulah yang dilakukannya selama hampir 35 tahun. Berkat kecekalan hati dan berbekalkan semangat juang yang tinggi dengan disulam oleh azam yang kuat, beliau berjaya mengharungi pelbagai dugaan ketika menyelusuri bidang yang sangat-sangat diminatinya itu.

Tugasannya yang tidak menentu waktu dan ruang juga membawa dan menemukan beliau dengan pelbagai tokoh sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Pengalaman di dunia kewartawanan banyak mengajar Rashidah untuk hidup berdikari yang tidak ada kena mengena dengan dunia kewartawanan.

Rashidah yang mahir berbahasa Inggeris, juga berkemahiran sebagai penterjemah ini juga dapat menyaksi dan mencatatkan pelbagai peristiwa penting di sebalik kelincahan tarian penanya di dunia kewartawanan.

Bayangan kengerian perang ketika era Jepun di Tanah Melayu digambarkan dengan jelas oleh beliau lewat memoir ini. Secara tidak langsung, beliau juga pernah merasai kegetiran pahit maung hidup pada zaman tersebut.

Menurut beliau, mereka yang lahir selepas 1945, amat beruntung kerana terlepas daripada peristiwa perang dan zaman pemerintahan Jepun. Tetapi bagi yang pernah mengalaminya, Rashidah menganggap itulah zaman paling susah dalam kehidupan mereka. Bukan sahaja harga barangan mahal, kebanyakannya pula sukar didapati.

Bahan makanan penting seperti beras, gula, minyak masak, ikan kering, sukar didapati. Mula-mula memang ada, kemudian dijual di pasar gelap dengan harga yang tinggi. Beliau pula mula mual kerana hanya asyik makan sayur sawi.

Segala masakan dicuba untuk mempelbagaikan rasanya, termasuk ditumis, digoreng dan dimasak lemak, malahan rakyat digalak bercucuk tanam di halaman rumah. Di sana sini muncul pokok ubi kayu. Benarlah kata orang ketika itu 'zaman ubi kayu'.

Kehadiran memoir yang digarap dalam 10 bahagian ini turut diberi sentuhan kata pengantar oleh teman baiknya Puan Azah Aziz. Akhirnya, Rashidah berjaya memancang-mancang cerita sehingga menjadi pelbagai tema yang berlainan.

0 comments: