Hidupkan suasana politik baru di Manek Urai

Hidupkan suasana politik baru di Manek Urai

CALON Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan sudah diumumkan.

Jika kertas pencalonan diterima, BN akan diwakili oleh bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, manakala calon Pas diwakili oleh Mohd. Fauzi Abdullah.

Mungkin calon parti kecil lain atau Bebas akan turut bertanding bagi merancakkan pilihan raya itu.

Oleh kerana pilihan raya itu melibatkan calon daripada UMNO, Pas atau calon lain daripada bangsa Melayu maka pendekatan berkempen sepatut diubah.

Rakyat sudah jemu dengan pendekatan kempen yang 'panas' dan keterlaluan. Hentikanlah taktik provokasi, menakut-nakut orang ramai menjelang penamaan calon pada 6 Julai dan pada hari pengundian pada 14 Julai ini.

UMNO dan Pas, kedua-duanya berteraskan Melayu dan Islam harus memulakan satu budaya politik baru. Maksud budaya politik baru ialah amalan berceramah atau berkempen tidak perlu dipenuhi dengan kata-kata maki hamun, memburukkan imej individu, membuat tohmahan tanpa bukti kukuh dan bermacam-macam lagi.

Kita mahu Manek Urai menjadi gelanggang permulaan pendekatan politik baru dengan gaya kempen secara profesional dan matang.

Sudah 12 kali pilihan raya umum dan beratus pilihan raya kecil dilalui oleh ahli politik Melayu/Islam.

Bolehkah Manek Urai menjadi titik permulaan terhadap budaya politik baru ini? Perkenal dan bentangkan strategi dan hala tuju yang ingin dibawa oleh parti-parti politik demi kebahagiaan pengundi dan penduduk kawasan Manek Urai.

Jangan pecah-pecahkan kelompok Melayu yang kedudukannya semakin goyah. Jangan menyalahkan pihak lain kerana kegagalan cadangan kerajaan perpaduan.

Ceramah pemimpin Pas usah lagi mengandungi unsur-unsur politik samseng hingga sanggup 'bertumpah darah' untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

Seluruh orang Melayu dan umat Islam negara ini menaruh harapan agar unsur-unsur provokasi yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram, malah boleh menakutkan para pengundi elok dielakkan.

Atas sebab itu, semua pihak yang mendokong parti masing-masing patut mengelak daripada perbuatan mengapi-apikan emosi penyokong.

Suasana aman di Manek Urai dijangka panas ekoran sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kembali menyerang UMNO.

Begitu juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terus mempertahankan kecamannya terhadap UMNO.

Sebenarnya suasana aman di Manek Urai perlu dipertahankan dengan Pas dan UMNO perlu memastikan penyokong masing-masing bertindak rasional dalam melaksanakan demokrasi dan usah menganggapnya sebagai medan peperangan.

Biar pengalaman pilihan raya lepas yang mencetuskan persengketaan, dendam dan keraguan dilupakan ketika keadaan perpecahan umat Melayu/Islam kini membimbangkan.

Sebab itu semua pihak perlu menghormati undang-undang dan peraturan pilihan raya secara ikhlas, tanpa tipu helah untuk melanggarnya.

Berkempenlah secara beretika dan akhirnya, biar pengundi Manek Urai membuat pilihan mereka dengan bijaksana.

0 comments: