Korea Utara mahu tunjuk kuasa nuklear baru

Korea Utara mahu tunjuk kuasa nuklear baru

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

KEJAYAAN Korea Utara melancarkan ujian nuklear bawah tanah membuktikan bahawa ia mahu muncul sebagai antara negara kuasa nuklear dunia.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan, rejim komunis itu turut melancarkan tiga ujian peluru berpandu jarak dekat dari tapak ujian di timur laut negara komunis tersebut.

Sementara itu, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) milik Korea Utara pula melaporkan, Pyongyang "berjaya melakukan ujian nuklear bawah tanah sebagai sebahagian langkah untuk meningkatkan persenjataan nuklear bagi mempertahankan diri".

Rejim itu turut menyifatkan ujian terbaru tersebut sebagai "paras baru daripada sudut kuasa letupan dan teknologi".

Perkembangan terbaru itu pastinya akan membuatkan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi boleh menafikan Korea Utara sebagai kuasa nuklear baru.

Ujian nuklear kelmarin cukup mengejutkan dunia kerana keupayaannya melancarkan ujian kedua dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Pada 5 April lalu, Pyongyang melancarkan roket yang dipercayai untuk menguji teknologi peluru berpandu jarak jauh.

Pihak Rusia mengesahkan ujian bawah tanah terbaru berdekatan dengan Kilju di utara negara tersebut menyamai bom atom yang digugurkan ke atas Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua lalu.

Persoalan sekarang ialah bagaimana Korea Utara boleh membuat persediaan ujian dan melepasi pemantauan satelit atau laporan perisikan? Ia menjejaskan kredibiliti Kementerian Pertahanan Korea Selatan dalam menghidu maklumat awal mengenai bila dan di mana ujian berkenaan.

Persoalan kedua ialah kenapa jadual ujian itu begitu ketat? Maksudnya dua ujian dalam tempoh dua bulan. Dan apakah motif Kim Jong-il melancarkannya? Adakah untuk memaksa AS duduk semeja bagi dialog dua hala untuk memperakuinya sebagai antara kuasa nuklear utama dunia?

Mungkin Korea Utara ingin menegaskan kepada AS supaya jangan memandang rendah kepada kekuatannya kerana ia boleh memberi ancaman kepada Korea Selatan dan Jepun.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana Jepun pastinya tidak akan mendiamkan diri. Selain itu, China juga pasti tidak mahu hegemoninya sebagai kuasa nuklear di Asia dicabar.

Pelancaran ujian berkenaan juga pastinya menjejaskan rundingan enam pihak melibatkan kedua-dua Korea, AS, Rusia, China dan Jepun. Korea Utara dalam kenyataannya sebelum pelancaran mengejut itu kelmarin menyatakan, ia tidak akan kembali kepada rundingan enam pihak tersebut.

Malah ia lebih bersikap keras kepala selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat kenyataan mengecam pelancaran peluru berpandu jarak jauh Taepodong-2 pada awal bulan lalu.

Ujian nuklear itu juga dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada pergolakan politik dalaman Korea Utara. Ketika ini, khabar angin mengenai siapakah pewaris takhta Jong-il semakin bertiup kencang. Beliau mahu anaknya, Kim Jong-un menggantikannya tetapi dikatakan ada usaha untuk menidakkan hasrat tersebut.

Jong-il mahu anaknya itu mengetuai hubungan baru Korea Utara-AS dan mendesak kuasa besar itu memperakui Pyongyang sebagai kuasa nuklear serantau.

Penganalisis kanan mengenai Korea Utara dari Institut Kajian Penyatuan, Choi Jin-wook berkata, ujian tersebut membuktikan ramalan pihaknya bahawa Korea Utara benar-benar mahu menyertai "kelab nuklear dunia".

"Mereka mahu perubahan segera dalam dasar AS. Mereka percaya ia boleh dilakukan,'' tegasnya. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Takeo Kawamura berkata, Korea Utara ternyata melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan pelancaran ujian nuklear tersebut.

"Kita tidak akan bertoleransi dengan perkara ini," tegasnya.

Jepun akan meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan perkara tersebut.

Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak pula menganggap ujian itu sebagai provokasi dan kini mengarahkan lebih 680,000 anggota tenteranya bersiap sedia.

Perdana Menteri Britain, Gordon Brown turut menyelar ujian itu dan menyifatkannya sebagai "berbahaya kepada dunia" dan bakal menggagalkan prospek damai di Semenanjung Korea.

Rundingan ASEAN dan Korea Selatan yang sedang berlangsung sepatutnya mengadakan perbincangan berhubung perkara itu kerana tempias ancaman Korea Utara akan turut dirasai sehingga ke rantau Asia Tenggara.

PENULIS ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

0 comments: