Minda Pengarang: Rakyat sepatutnya tidak lupa sejarah keganasan komunis

Minda Pengarang: Rakyat sepatutnya tidak lupa sejarah keganasan komunis


TIDAK keterlaluan untuk kita menyifatkan komunis sebagai penjajah terakhir di negara kita. Tetapi berbeza dengan Portugis, Belanda, British, Siam mahupun Jepun, penjajahan komunis bukan didalangi tentera asing yang menceroboh untuk menakluk negara kita, sebaliknya komunis menjajah negara kita dengan menanamkan ideologi cetusan Karl Marx di kalangan masyarakat tempatan, terutama orang Cina di Tanah Melayu. Ia adalah 'penjajahan minda' yang menyebabkan penduduk setempat bangkit menentang pemerintah bagi mewujudkan sebuah negara berasaskan sistem komunisme. Sejak dicetuskan Karl Marx di Eropah pada pertengahan abad ke-19, ideologi komunis merebak pesat ke negara lain termasuk Russia dan China sebelum tiba di negara kita pada awal 1920-an. Fahaman itu terus disebarkan ejen komunis terutama apabila Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 1930. Pelbagai propaganda dirancang bagi menarik minat masyarakat Cina kelas bawahan menyertai PKM. Usaha itu berkesan apabila kira-kira 10,000 ahli baru menyertai parti itu menjelang 1934. Pelbagai usaha dilakukan sejak itu termasuk cubaan menyusup masuk ke dalam pertubuhan orang Melayu. Usaha PKM untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis menerusi pendekatan politik gagal apabila mereka diketepikan British dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. PKM menukar strategi kepada pendekatan keganasan. Kebanyakan komunis ini bergerak dalam hutan dan menjadi pasukan pembunuh bergerak secara gerila.

Untuk sekian lama sebelum dan selepas merdeka sehinggalah perjanjian damai 1989, negara tidak aman dan ribuan orang terbunuh sama ada membabitkan anggota keselamatan atau anggota komunis itu sendiri. Ribuan juga yang menjadi janda, duda dan yatim piatu. Bagi yang bernasib baik untuk terus hidup, mereka pula terus dihantui bayang-bayang PKM pimpinan Chin Peng yang radikal dan kejam itu. Ramai lagi menderita kerana kepayahan hidup gara-gara kehadiran komunis sehingga ada yang sakit jiwa. Oleh itu, jika kita membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia, ia akan mengundang kekecohan dan rasa tidak senang hati, terutama di kalangan generasi yang mengalami zaman komunis, biarpun generasi muda kini cuma mengetahuinya melalui bahan sejarah. Sebetulnya, Chin Peng, 85, yang kini hidup dalam buangan di Thailand sejak 1961 harus dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan dipertanggungjawabkan ke atas 50,000 anggota tentera dan polis, selain ahli keluarga mereka serta sebahagian orang awam yang terkorban ketika menentang PKM pada zaman darurat. Jika bekas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic boleh dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Perang atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai rakyat Muslim Bosnia ketika perang 1992-95, tidak salah berbuat demikian terhadap Chin Peng yang kesalahannya tidak boleh dimaafkan. Oleh itu, kita jangan buta sejarah dan daripada mendesak kerajaan untuk membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini, elok rasanya kita mendesak badan antarabangsa bertindak terhadap Chin Peng seperti juga tindakan ke atas Karadzic.

0 comments: