Oleh Abdul Rahman Sulaiman
PASUKAN keselamatan memburu pengganas komunis pimpinan Chin Peng (gambar kecil) di pinggir hutan di Labis, Johor pada September 1964. |
PENGERUSI Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan menerima kutukan berterusan daripada pelbagai pihak berikutan cadangannya baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang kini menetap di perkampungan khas di Selatan Thailand, pulang ke Malaysia.
Reaksi terbaru ialah daripada Naib Presiden Gerakan sendiri, Mejar (Kehormat) Huan Heng Guan yang mahukan rakan seperjuangan beliau itu disingkirkan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Menurut Guan, anggota Gerakan pada peringkat akar umbi juga mahu tindakan diambil terhadap Dr Teng kerana menyebabkan parti terbabit dipandang serong dan dianggap buta sejarah. Sama ada Dr Teng akan akhirnya menerima hukuman setimpal daripada partinya kerana kenyataan yang cukup sumbang itu, bukanlah sesuatu yang relevan.
Apa yang lebih relevan dan perlu diberi perhatian serius ialah suasana yang melatari negara ketika kenyataan itu dibuat. Hakikat bahawa kenyataannya dikeluarkan pada saat negara sedang berdepan pelbagai kemelut sosial, politik dan ekonomi serta ketika parti politik pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang sibuk memperjuangkan apa yang mereka sifatkan sebagai penindasan terhadap golongan bawahan oleh pemerintah, tidak harus dipandang sepi.
Sejak akhir-akhir ini, pelbagai blog antikerajaan juga sering memuatkan tulisan yang seolah-olah bertujuan menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan antara kelas di negara ini. Semua fenomena ini terlalu ketara untuk dianggap sebagai berlaku secara kebetulan.
Lagi pun, ini bukan pertama kali cadangan untuk membenarkan Chin Peng yang secara langsung bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan anggota angkatan tentera, polis dan orang awam itu disuarakan oleh pihak tertentu.
Puluhan ribu lagi bekas tentera dan polis serta rakyat biasa dan anggota keluarga masing-masing terpaksa menderita kerana kecederaan, cacat anggota atau kehilangan keluarga tersayang angkara Chin Peng dan rakannya yang melancarkan perang gerila dari hutan belantara sepanjang tempoh darurat dulu yang bermula pada awal 1948.
Di samping itu, harta awam bernilai jutaan ringgit juga turut dimusnahkan oleh Chin Peng dan rakannya dalam usaha mereka mensabotaj ekonomi negara. Orang Melayu di Teluk Intan, Sungai Manik dan Parit di Perak, terutama warga emas, tentu masih belum boleh melupakan bagaimana ganasnya pengikut Chin Peng menggeledah kampung halaman mereka pada waktu malam untuk mencari apa yang mereka anggap sebagai anjing dan ejen kerajaan.
Akibatnya ratusan orang kampung yang tidak berdosa, termasuk ketua kampung dan imam, diseret keluar dari rumah masing-masing, lalu disembelih dengan kejamnya. Tanpa sebarang rasa peri kemanusiaan dan belas kasihan, mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Perak dengan tidak dimandikan, dikapan atau disembahyangkan.
Begitulah kejamnya tindakan dilakukan anggota PKM terhadap orang Melayu dalam tempoh singkat ketika kebangkitan Bintang Tiga selepas Jepun menyerah kalah lalu berundur dari Tanah Melayu ketika tamatnya Peperangan Dunia Kedua dulu.
Peristiwa ini yang jelas tercatat dalam lipatan sejarah negara tidak mungkin dapat dilenyapkan oleh sesiapa hatta oleh mereka yang bersimpati atau pernah bersimpati dengan gerakan komunisme di Malaysia.
Oleh itu, sebarang usaha untuk menidakkan fakta sejarah ini apatah lagi untuk mewajarkan pemberontakan bersenjata yang dilancarkan PKM sepanjang tempoh darurat dulu sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan seperti yang diajukan oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini, jelas bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini.
Natijah ini diperkuatkan lagi oleh pelbagai petanda jelas dalam pergolakan politik tanah air pada waktu mutakhir ini. Seperti dinyatakan pada awal tadi, usaha untuk membawa pulang Chin Peng yang dilakukan serentak dengan kebanjiran tulisan dalam blog yang secara tersirat mendewa-dewakan komunisme serta kelantangan parti pembangkang dan NGO dalam menyuarakan perjuangan kelas atau class struggle' di Malaysia, memperlihatkan satu pola pendekatan yang sedia diatur secara sistematik.
Perbuatan menstruktur masyarakat menurut kelas tertentu ciptaan sendiri seperti Elit Pemerintah atau Elit Umno, Umnoputras, golongan terpinggir dan sebagainya tidak banyak perbezaan dengan istilah marhaen, proletariat atau bourgeois yang dipopularkan melalui teori dialectical and historical materialism ciptaan Karl Marx.
Tujuannya ialah untuk menimbulkan kemarahan rakyat biasa terhadap kerajaan dan golongan berada supaya satu hari nanti rakyat akan bangkit memberontak atau menentang kerajaan melalui cara yang tidak semestinya demokratik.
Tindakan yang dilakukan untuk mencapai matlamat perjuangan seperti demonstrasi jalanan, mogok lapar atau pelbagai kerenah lain yang berbentuk provokasi dan separa militan juga tidak banyak bezanya dengan kaedah digunakan oleh pergerakan buruh dan pertubuhan berhaluan kiri yang disokong oleh PKM suatu masa dulu.
Usaha menyemarakkan kuasa rakyat yang berjaya menumbangkan kerajaan yang sah di Filipina dan Thailand, tanpa menghiraukan undang-undang, juga satu lagi cara yang pernah digunakan oleh puak berfahaman kiri di negara ini suatu masa dulu.
Oleh itu, bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mengesahkan bahawa terdapat beberapa kumpulan di negara ini dikesan cuba menghidupkan ideologi dan nilai komunisme. Katanya, gerakan itu dipelopori badan tidak berdaftar dan tidak kurang juga di kalangan parti politik.
Sebenarnya, komunisme sebagai satu ideologi tidak pernah mati. Berakhirnya Perang Dingin yang menyaksikan kehancuran Soviet Union, penyatuan Vietnam dan keruntuhan kerajaan komunis di Eropah Timur pada awal 1980-an, tidak pernah membunuh komunisme.
Ia akan tetap muncul semula dari semasa ke semasa selagi ada pihak yang mempopularkan ideologi itu meskipun tidak semestinya dalam bentuk asal ia dicipta. Pendokong fahaman ini di Malaysia mungkin menolak sama sekali perjuangan bersenjata yang pernah dianjurkan oleh Chin Peng dan rakannya.
Mereka mungkin memilih cara yang boleh dilihat sebagai mesra rakyat dan kurang menakutkan. Mereka boleh melabel ideologi mereka sebagai neo-komunisme, kalau mereka mahu untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi percayalah bahawa komunis tetap komunis walau apa juga baju yang mereka pakai. Bahayanya kepada masyarakat tetap sama.
Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
0 comments:
Post a Comment