Tindakan Korea Utara jadi tumpuan sidang di Pulau Jeju
Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my
KETEGANGAN di Semenanjung Korea berikutan tindakan provokasi Korea Utara mengadakan ujian nuklear bawah tanah dan ledakan roket yang mencetuskan kemarahan antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka mempengaruhi agenda sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan di Pulau Jeju, selama dua hari bermula Isnin ini.
Walaupun perbincangan mengenai konflik berkenaan tidak termaktub dalam agenda persidangan sempena 20 tahun dialog berkenaan, pemimpin 10 negara Asean dijangka menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pergolakan terbaru yang ditimbulkan Korea Utara yang sejak sekian lama menghantui negara di rantau Asia Timur berkenaan.
Tindakan provokatif negara komunis itu dengan menguji nuklear bawah tanah Isnin lalu, diikuti pelancaran dua peluru berpandu jarak dekat turut mencetuskan kebimbangan Asean yang mempunyai hubungan baik dengan kuasa ekonomi di Asia Timur iaitu China, Jepun, Taiwan selain Korea Selatan.
Malaysia turut bimbang dengan konflik yang tercetus apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan tindakan Korea Utara itu boleh menjejaskan ketegangan di rantau berkenaan. Najib yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak di Jeju, Isnin depan meminta rundingan enam pihak membabitkan China, Russia, Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat dan Jepun bersama Majlis Keselamatan PBB diadakan segera bagi menangani masalah berkenaan.
Sebenarnya, Korea Selatan membuat persediaan rapi bagi menganjurkan sidang kemuncak berkenaan yang turut meraikan sambutan ke-20 tahun hubungan baik dengan Asean yang dimulakan pada 1989.
Tanpa memberi tekanan kepada masalah yang dihadapi di rantau itu, sidang kemuncak berkenaan dijangka mampu memberi dimensi baru kepada hubungan dua hala Korea Selatan dan Asean terutama bagi menghadapi alaf baru. Hubungan ini cukup serius bagi Korea Selatan yang menubuhkan Pusat Asean-Korea Selatan di ibu negara Seoul yang dibuka secara rasmi Mac lalu, bagi merapatkan lagi hubungan dua hala negara itu dengan rakan Asean di Asia Tenggara.
Asean adalah rakan dagang dan pelaburan ketiga terbesar Korea Selatan dan hubungan itu dijangka terus meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi Asia yang semakin memberangsangkan sekarang.
Nilai dagangan kedua-dua pihak berkembang pesat. Tahun lalu, jumlah nilai dagangan ialah AS$90 bilion meningkat daripada AS$71.85 bilion pada tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kesan kemelut ekonomi global yang berlaku akhir tahun lalu, menyebabkan nilai dagangan kedua-dua pihak merosot pada tiga bulan pertama tahun ini kepada AS$16.03 bilion berbanding AS$22.7 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Penubuhan pusat itu memperlihatkan keyakinan Korea Selatan terhadap kepentingan Asean melalui hubungan dua hala yang mantap dalam bidang ekonomi, politik dan kebudayaan yang terjalin sejak dua dekad lalu. Kedua-dua pihak bersetuju menjadikan pusat berkenaan yang ditadbir majlis yang menjadi pembuat keputusan bagi meningkatkan hubungan perdagangan, menggalakkan aliran pelaburan, pertukaran kebudayaan dan pelancongan antara Asean-Korea Selatan.
Selama ini hubungan perdagangan lebih memihak kepada Korea Selatan terutama dalam pelaburan. Pusat berkenaan akan meningkatkan kesedaran produk Asean di kalangan pengguna Korea melalui galakan pameran oleh syarikat dari Asean untuk mengadakan pameran dan promosi produk di Korea. Malah, ia juga akan membantu syarikat Asean memasuki pasaran Korea melalui penyebaran maklumat mengenai peraturan import dan keadaan pasaran. Selain itu usaha menggalakkan pelaburan di negara Asean turut dilakukan pusat berkenaan.
Tinjauan ke pusat terbabit sempena kunjungan wartawan negara Asean ke Korea Selatan, baru-baru ini, mendapati pameran budaya Asean `Asean Prism' berlangsung di dewan pameran Tingkat 8, Bangunan Press Center.
Pelbagai pameran berbentuk budaya dari 10 negara Asean dipamerkan. Malaysia mengenengahkan kraf etnik pedalaman Sarawak dan Royal Selangor Pewter pada pameran yang berlangsung sejak Mac lalu.
Timbalan Pengarah, Pusat Asean-Korea Selatan, Yoo Dae Jong, ketika memberi taklimat kepada wartawan Asean berkata, penubuhan pusat berkenaan akan merapatkan lagi hubungan Asean-Korea Selatan yang selama ini sedia terjalin.
"Kedua-dua pihak akan mendapat manfaat dengan penubuhan pusat ini yang akan menyelaras hubungan dua hala melalui kerjasama teknikal, perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pelancongan.
"Dengan wujudnya Pusat Asean-Korea Selatan sebagai pertubuhan antara kerajaan, kita yakin hubungan antara kedua-dua pihak akan meningkat terutama dalam bidang ekonomi bagi menghubungkannya dengan dunia global," katanya.
Selain itu katanya, kesedaran kebudayaan di antara penduduk Asean yang berjumlah 570 juta dan Korea Selatan 48.5 juta penduduk amat penting dan ia boleh dipromosikan melalui pusat berkenaan dengan lebih agresif lagi.
Dalam tempoh 20 tahun hubungan dua hala Asean-Korea Selatan, kita yakin persidangan di pusat peranginan Jeju kali ini akan membuka era baru kepada pemimpin kedua-dua pihak untuk melihat hala tuju bersama bukan saja untuk memakmurkan rantau Asean dan Asia Timur, malah menjana pertumbuhan ekonomi global.
Sudah sampai masanya, semua pemimpin melihat skop lebih jauh manfaat yang bakal diperoleh melalui hubungan dan kerjasama yang berbentuk `menang-menang' terutama selepas pembukaan pasaran bebas Asean dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-Korea Selatan.
Kita yakin konflik yang berlaku di Semenanjung Korea kini selain peristiwa tragis yang menggemparkan seluruh penduduk Korea Selatan apabila bekas Presiden Korea Selatan ke-16, Roh Moo-hyun (2003-2008) membunuh diri selepas dikaitkan dengan isu rasuah, tidak memesongkan matlamat persidangan.
Sidang kemuncak ini amat penting bagi Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak yang mempunyai hubungan rapat dengan Asean kerana pernah berkhidmat dalam bidang pembinaan ketika bersama syarikat Hyundai di Singapura dan Thailand, untuk membincangkan mengenai masa depan Asia melalui pengenalan Pelan Diplomasi Baru Asia, yang tentunya ditunggu-tunggu semua pihak di rantau Asia.
0 comments:
Post a Comment