Kisah Dr. Amat Juhari, bapanya dan Chin Peng

Kisah Dr. Amat Juhari, bapanya dan Chin Peng

PAGI semalam saya menerima panggilan daripada seorang bekas profesor Universiti Putra Malaysia (UPM). Dr. Haji Amat Juhari Moain ialah seorang pesara dan mantan Dekan Komunikasi dan Bahasa Moden. Nombor telefon saya diberikan oleh seorang saudaranya yang mengenali saya, iaitu Haji Taib Ahmad. Sebagai seorang sarjana dan cendekiawan, bunyi panggilannya agak tenang, tapi ada satu perasaan yang mahu disampaikan.

''Saya minta Utusan bantu siarkan kisah orang tua saya (bapa) yang disembelih oleh komunis," katanya. Nada beliau semakin menaik apabila mula bercerita bagaimana arwah bapanya Moain Saridin hilang dari pandangannya selepas mereka dua beranak keluar mandi sungai satu petang pada Jun 1945.

Ceritanya: Bapa saya kemudian hilang. Sebagai seorang naib (istilah di Johor untuk Ketua Kampung) petang itu dia dipanggil oleh sekumpulan orang untuk pergi menyelesaikan satu masalah penduduk.

Itu adalah kali terakhir saya melihatnya. Mayatnya kemudian ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat. Terlalu menyedihkan, bapa saya disembelih dan anggota badannya dikerat-kerat. Bapa saudara saya Hassan Akasah (atau juga dikenali sebagai Wak Kasah) turut dibunuh kejam.

Mereka dibunuh oleh sekumpulan komunis (MPAJA) yang bergerak aktif di pedalaman Tanah Melayu. (Nota Wikipedia: Malayan People's Anti-Japanese Army (terjemahan: Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu) atau singkatannya MPAJA ialah satu pertubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) atau juga dipanggil Bintang Tiga telah memerintah Tanah Melayu selama empat belas hari pada tahun 1945. Ramai orang keturunan Cina menganggotai pertubuhan ini kerana mempunyai perasaan benci terhadap Jepun yang telah menakluki negara China pada masa itu. Waktu ini adalah jangka masa yang bermula dari tarikh tentera Jepun mengaku kalah kepada Tentera Bersekutu pada 16 Ogos 1945 sehinggalah tarikh kepulangan tentera British kembali ke Tanah Melayu untuk menubuhkan Kerajaan Pentadbiran British.

''Kejadian itu sering menghambat perasaan saya sehingga hari ini," katanya.

Siapa kata Chin Peng yang mahu pulang itu adalah seorang pejuang nasionalis? Matlamatnya dulu, kata Dr. Amat Juhari ialah mahu merampas tanah air ini untuk dijadikan negara komunis.

''Chin Peng ialah Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) dan jawatan itu membolehkan dia cukup berkuasa. Dia tahu apa yang dia buat dan jika dia seorang nasionalis dia akan berjuang bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan lain-lain untuk kesejahteraan negara ini," jelas Dr. Amat Juhari yang suaranya dalam telefon tidak menggambarkan beliau akan menyambut hari lahirnya ke-70 tidak lama lagi.

Itu adalah satu daripada banyak lagi kisah sedih mangsa kekejaman PKM yang mahu menukar landskap negara ini pada masa itu sebagai sebuah negara komunis yang berpaksikan Bintang Tiga di Tanah Besar China.

Dalam usia sebegitu, niat Dr. Amat Juhari menelefon saya sungguh ikhlas. Bapanya ialah sejarah berdarah yang perlu kita renungkan. Generasi sekarang harus diberitahu dan didedahkan dengan kisah-kisah sejarah fakta seperti ini. Jika kita bercakap mengenai jati diri, maka sejarah seumpama inilah yang harus diterapkan bagi memberitahu kepada mereka bahawa keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran mereka kini boleh direntap bila-bila masa oleh pelbagai unsur jahat yang berada di sekeliling mereka sekarang.

Kita jangan ambil mudah fenomena baru yang melanda negara sekarang. Fenomena ungkit-mengungkit sekarang amat berbahaya kepada negara ini. Ia adalah elemen subversif generasi baru yang perlu ditangani. Kita jangan biarkan keamanan Malaysia yang dipelihara selama lebih 50 tahun ini dilenyapkan dalam masa yang singkat ini. Kerajaan harus bertegas dan rakyat menaruh sepenuh harapan kepada mereka untuk mengekangnya.

Seperti yang saya tekankan dalam Cuit sebelum ini, sejarah amat penting untuk kita semua. Di negara besar seperti Amerika Syarikat, pelajaran sejarah amat penting bagi rakyatnya. Orang asing yang mahu belajar atau bermastautin di negara besar itu pun diwajibkan mempelajari dan mengambil peperiksaan mengenai sejarah negara itu. Bagi Amerika, sejarahnya amat penting dan suci.

Benar kata Prof. Dr Khoo Kay Kim (NST semalam, 27 Mei): ''Sejarah ialah disiplin paling penting, walaupun ia tidak akan membantu seseorang menjadi orang kaya. Buku teks bukan cara yang ideal untuk mempelajari kisah silam sejarah. Skopnya terlalu terhad. Penyelidikan adalah jawapannya, yang kemudiannya disampaikan kepada umum melalui bacaan popular."

Kekejaman PKM pimpinan Chin Peng tidak boleh dipersoalkan lagi. Chin Peng adalah Pol Pot, Adolf Hitler, Radovan Karadzic, Ratko Mladic - walaupun saiz kekejamannya berbeza, namun kesannya adalah sama.

Pihak-pihaknya yang mahu membawanya pulang boleh berbuat demikian tetapi Chin Peng harus tahu kesan kepulangannya kelak.

''Jika Chin Peng dibenarkan pulang, dia harus menjalani perbicaraan jenayah perang dan hukumannya ialah mati," kata Dr. Amat Juhari.

Ikuti kisah lanjut beliau yang disiarkan Utusan Malaysia di muka surat ini. Ia adalah sejarah satu generasi yang harus diperturunkan kepada umum, terutamanya rakyat kita.

(Nota: Cuit akan kembali disiarkan pada hari Rabu minggu depan - Pengarang)

0 comments: