Daripada Metra Syahril Mohamed
|
|
MOSCOW 12 Okt. – Pesawat Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan dua krew lain selamat bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam ini pada jarak 350 kilometer dari Bumi di ruang angkasa rantau Asia Tengah.
Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, Soyuz berlabuh di ISS tepat pukul 6.52 petang waktu tempatan (10.52 malam waktu Malaysia).
“Roket itu bercantum dengan ISS selepas berada di orbit selama 47 jam dan mengelilingi Bumi sebanyak 700 kali.
“Sebaik sahaja ia bercantum, Pusat Kawalan Misi (MCC) di Moscow mengadakan komunikasi dengan kesemua krew yang berada di ISS termasuk Sheikh Muszaphar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sheikh Muszaphar berlepas dengan pesawat angkasa Soyuz TMA-11 ke ISS pada pukul 7.21 malam waktu Kazakhstan Rabu lalu bersama angkasawan wanita dari Amerika Syarikat (AS), Peggy Whitson dan jurutera penerbangan dari Rusia, Yuri Malenchenko.
Selepas pencantuman pada pukul 6.52 petang waktu Moscow hari ini, Malenchenko memberitahu MCC di Bumi: “Semuanya hebat.”
Pendaratan di ISS itu bermakna misi berkenaan telah melepasi satu lagi fasa kritikal selepas pelancaran dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan dua hari lalu.
Proses pendaratan secara automatik di ISS memerlukan Soyuz berada pada kedudukan sama dengan stesen itu yang terletak 350 kilometer dari muka Bumi bagi membolehkan kedua-duanya bercantum.
Soyuz juga perlu berputar mengelilingi Bumi setiap 90 minit dengan kelajuan tujuh kilometer setiap saat iaitu kelajuan yang sama dengan ISS.
Sheikh Muszaphar dan dua krew Soyuz TMA-11 mengambil masa antara 60 dan 90 minit selepas berlabuh di ISS untuk membuka laluan bagi memasuki stesen angkasa itu.
Pihak berkuasa Rusia malam ini meletakkan beberapa helikopter dan kapal terbang dalam keadaan berjaga-jaga di wilayah Karaganda dan Baikonur, Kazakhstan bagi menghadapi sebarang kecemasan ketika percantuman antara Soyuz TMA-11 dan ISS.
Beberapa kawasan di Rusia dan negara-negara lain juga telah dikenal pasti sebagai tapak pendaratan sekiranya Soyuz terpaksa mendarat cemas di Bumi.
Ketibaan Sheikh Muszaphar di ISS disambut tiga krew Ekspedisi 15 yang bertugas di ISS iaitu Komander Fyodor Yurchikhin dan jurutera penerbangan Oleg Kotov dari Rusia serta jurutera penerbangan dari AS, Clayton Anderson.
Sheikh Muszaphar, 35, menjadi orang Islam pertama di dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas yang disambut hari ini di Kazakhstan.
Menurut jadual aktiviti angkasawan Malaysia, apabila tiba di ISS, Sheikh Muszaphar akan makan malam, melakukan uji kaji, membersihkan diri dan kemudian tidur selama sembilan jam.
Di ISS, beliau akan menjalankan kajian saintifik berhubung kesan mikrograviti dan radiasi terhadap sel barah dan bakteria serta uji kaji pengkristalan protein bagi mencari vaksin penyakit HIV/AIDS.
Doktor bedah ortopedik itu dijadualkan mengadakan tiga sesi sidang video dari ISS termasuk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pukul 8.20 malam Ahad ini.
Ia diikuti sesi kedua dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis pada Isnin dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar serta para pelajar sekolah pada 19 Oktober.
Dua krew yang tiba di ISS bersama Sheikh Muszaphar malam ini iaitu Malenchenko, 45, dan Whitson, 47, akan tinggal di ISS selama beberapa bulan.
Malenchenko adalah veteran ISS manakala Whitson yang pernah tinggal di sana selama enam bulan bakal menjadi wanita pertama yang mengetuai operasi stesen itu.
ISS mula menerima krew melalui Ekspedisi 1 pada 2 November 2000 yang dirintis oleh dua angkasawan Rusia, Yuri Gidzenko dan Sergei Krikalev serta angkasawan AS, William Shepherd.
ISS yang dibina daripada gabungan kepakaran AS, Rusia, China, Jepun, Kanada dan Eropah berfungsi sebagai tempat menjalankan uji kaji pada persekitaran mikrograviti serta memantau angkasa lepas.
Selain Sheikh Muszaphar, Whitson dan Malenchenko, ISS kini dihuni Komander Fyodor Yurchikin, jurutera penerbangan Oleg Kotov dan angkasawan AS, Clayton Anderson.
Sebaik sahaja memperoleh akses komunikasi dengan MCC, Sheikh Muszaphar kemudian memulakan komunikasi dengan anggota keluarganya.
Angkasawan Malaysia itu akan kembali ke Bumi bersama Yurchikhin dan Kotov menggunakan pesawat TMA-10 pada 21 Oktober ini.
– Utusan
0 comments:
Post a Comment