Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bangga dengan usaha pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) yang bekerja keras merawat Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tee Hui Yee.
Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dan gembira dengan segala usaha yang dilakukan oleh doktor dan jururawat di IJN.
“Petugas IJN bersungguh-sungguh memastikan keadaan semua pesakit pulih dan begitu juga pesakit berkenaan juga mempunyai semangat tinggi untuk pulih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi IJN selepas melawat bekas Perdana Menteri itu yang ditempatkan di Wad Bunga Raya IJN sejak Isnin lalu selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana menjalani pembedahan pintasan koronari jantung.
Abdullah turut melawat Hui Yee, penerima jantung baru, selepas menggunakan jantung mekanikal selama setahun. Beliau juga mengunjungi penerima organ paru-paru, Lang Kong, 39, dari Sarawak.
Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah meluangkan masa kira-kira 45 minit melawat ketiga-tiga pesakit berkenaan.
Kata Abdullah, keadaan Mahathir stabil serta semakin pulih dan doktor juga gembira dengan keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
“Saya datang nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada Tun (Mahathir). Saya juga jumpa Hui Yee dan berasa gembira dengan perkembangannya. Begitu juga dengan penerima organ paru-paru itu yang sudah aktif berjalan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment