Kendong TV semasa ziarahi jiran, saudara di hari raya?

Murtadza Ibrahim
Sat | Oct 13, 07 | 10:02:29 am MYT

Rakyat Bhutan menonton televisyen buat pertama kalinya pada tahun 1999 apabila mendiang pemerintah, Raja Jigme Singye Wangchuck membenarkan kemasukan peralatan komunikasi itu ke dalam negara Buddha yang sebelum ini terasing dari dunia luar.

Sejak itu juga alat media ini dipersalahkan kerana memusnahkan kehidupan berkeluarga, mencetuskan jenayah dan mencontohi anak-anak muda negara jahat serta melupakan nilai-nilai tradisi turun temurun.

Negara berkenaan sejak dari dahulu lagi terasing dari arus kemodenan dunia dan boleh dikatakan baru-baru ini sahaja membuka sedikit pintunya kepada dunia luar. Bayangkan, jip pertama yang dibawa ke ibu negaranya, bandar Thimpu pada 1960-an membuatkan penduduk setempat lari tidak cukup tanah kerana menyangka ia seekor naga yang mampu menghembuskan api.

Kini, empat dekad telah berlalu dan Bhutan berhadapan dengan 45 saluran rancangan televisyen dari dunia luar yang sudah semestinya membawa pelbagai pengaruh smada baik atau buruk kepada rakyatnya. Malahan Menteri Penerangan dan Komunikasi Leki Dorji menyatakan bahawa kerajaan juga tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah mereka lakukan. "Ia seolah-olah memberi harapan kepada rakyat miskin dan menjadikan mereka menjadi lebih tidak gembira."

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dipersetujui oleh majoriti rakyat Bhutan kerana satu kajian yang dijalankan pada tahun 2003 oleh Kementerian Penerangan dan Komunikasi sendiri menunjukkan bahawa penduduk merasakan yang televisyen mengubah pandangan mengenai kehidupan. Statistik mendapati lebih 66 peratus dari rakyat menyatakan televisyen memberi impak positif kepada masyarakat dan hanya 7.3 peratus sahaja yang tidak bersetuju.

Kritikan demi kritikan sudah tersebar kerana sejak televisyen muncul, jenayah kecil dan penggunaan dadah mula kedengaran sedangkan ia amat jarang sekali di dengari di negara ini suatu ketika dahulu.

Sebuah negara Buddha turut merasai perubahan sosial masyarakat dan penganutnya disebabkan televisyen. Negara yang dahulunya aman dan terkenal dengan tradisi keagamaan kini mulai menghadapi kebrobrokan sosial yang dicetuskan oleh negara Barat yang majoriti pemimpinnya adalah beragama Kristian. Memang banyak kebaikan yang diperolehi tetapi ia sama banyak dengan keburukan yang bakal diterima oleh rakyatnya.

Itu berlaku sebuah negara Buddha. Penganut dan pemimpin Buddha sudah mulai merasai bahan televisyen ini. Bagaimana dengan negara kita, sebuah negara majmuk yang dikenali sebagai negara yang terkenal dengan adat-adat ketimuran dan sopan santun dan disifatkan sebagai sebuah negara Islam yang didakwa oleh sesetengah Menteri Barisan Nasional?

Suasana yang cukup membimbangkan sekarang adalah semakin terhakisnya roh Islam di kalangan umat Islam di negara ini kerana pengaruh televisyen yang semakin berpesta dengan hiburan yang melalaikan,

Tidak perlu menyebut perkara yang cukup berat dan hebat yang berkaitan dengan hukum-hakam di dalam Islam, perkara yang kecil seperti sambutan bulan Syawal yang disiarkan oleh televiysen sudahpun menganggu dan menghakis adat ketimuran rakyat Melayu di negara ini. Apatah lagi jika ia dikaitkan dengan nilai-nilai Islam.

Sebelum menjelang bulan kemenangan kepada masyarakat Islam ini, kita sudah disambut dengan pesta-pestaan hiburan yang disiarkan oleh televisyen. Anak muda dan sesetengah masyarakat Islam "separuh matang" menonton televisyen sebagai suatu kemestian yang perlu dilakukan. Mereka dileka dan dilupakan dengan istilah sebenar hari kemenangan ini selepas kita sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Pada pagi harinya pula, siaran pesta hiburan ini diteruskan sehingga ada masyarakat Islam yang separuh masak terlupa untuk menunaikan solat Aidil Adha. Kemudian hampir tiada lagi kelaziman bermaaf-maafan semasa keluarga dan mengunjungi sanak saudara lainnya.

Kita tidak perlu apakah rancangan hiburan dan saluran mana yang terbabit. Ia boleh menyesakan fikiran. Yang lebih menarik lagi, saluran ini mengambil program dari negara Barat yang pastinya bertentangan dengan budaya dan amalan masyarakat Islam negara ini. Mata semakin bulat dan terjonjol keluar melihat artis perempuan yang berpakaian "tidak cukup kain".

Seharusnya pada minggu-munggu pertama disiarkan program yang mendidik dan kepentingan kepada masyarakat Islam. Umpamanya diwujudkan lebih lama dan meluas program kunjung mengunjungi antara satu sama lai, pemimpin Islam menjadi iman solat (bukan retorik), pemimpin utama kakitangan kerajaan menjadi imam dan sebagainya. Pihak pengamal media perlu berkorban sedikit di hari pertama hari kemenangan ini selepas 11 bulan kurang berkorban mendidik masyarakatnya.

Kadang-kadang kita selalu tersilap fikir apabila diadakan program yang mendidik sebagai kolot tetapi pesta hiburan sebagai moden dan berfikiran terbuka.

Barangkali selepas ini tidak mustahil ada masyarakat Islam kita yang "mengendong TV" sebesar 28 inci ke sana ke mari semasa kunjung mengunjung dengan alasan tidak mahu terlepas program hiburan yang menyesakkan ini. Itulah budaya Melayu yang sedang dipupuk oleh televisyen kita.

Mungkin juga negara kita sudah mendahului jauh ke hadapan dari negara Bhutan untuk melihat kerosakan sosial sesetengah anak-anak muda kerana pengaruh televisyen.

0 comments: