Skuad wanita periuk api

Skuad wanita periuk api


PASUKAN pembasmi periuk api ini memotong rumput di sekitar kawasan yang disyaki tertanamnya periuk api.


TATKALA Faiza Annet melambai anak perempuannya ke sekolah, si kecil berusia tujuh tahun itu yang tidak pernah lupa berpesan kepada si ibu agar menjaga diri.

"Dia mengingatkan saya supaya menjaga diri setiap kali mengucapkan selamat tinggal," kata Annet, salah seorang anggota pengesan periuk api wanita di Sudan. Kisah sekumpulan wanita pengesan periuk api di Bingu, Sudan itu menerima liputan media antarabangsa, baru-baru ini.

Ketika wanita lain di dunia ini bekerja di pejabat atau sibuk menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah, Annet dan wanita-wanita itu bersabung nyawa di atas hamparan tanah yang berbahaya.

Menjejak periuk api

Mereka bekerja menjejak dan membuang periuk api warisan perang yang tersimpan di dalam perut bumi. Namun, jika silap kaki melangkah, mungkin periuk api itu dijumpai setelah nyawa melayang atau kaki sendiri menjadi kudung.

Bekerja untuk Norwegian People's Aid (NPA), Annet dan enam wanita lain yang menjadi ahli kumpulannya memilih kerjaya itu bukan kerana kesempitan hidup. Sebaliknya, kerana ekspresi diri sendiri.


PASUKAN pembasmi periuk api wanita sedang berehat di sebuah khemah berhampiran kawasan periuk api.


"Ia satu kerja yang penting. Saya menjadi wanita pembuang periuk api sebab saya melihat ramai kawan yang cedera dan ada yang mati," tambah Annet, 27.

Rakannya, Jamba Besta sebelum ini merancang untuk menjadi setiausaha di pejabat, tetapi akhirnya memilih untuk menjadi pengesan periuk api. Dia sedar, apa yang dilakukan untuk kebaikan komuniti. Tambah lagi, sebuah sekolah bakal didirikan di kawasan itu.

Bungu, sebuah kawasan penempatan kecil terletak 50 kilometer dari ibu kota Sudan, Juba yang merupakan laluan ke sempadan Uganda pernah menjadi zon perang. Kira-kira dua juta orang terkorban dalam perang Utara-Selatan Sudan, perang saudara yang berlarutan selama 22 tahun itu. Perang tersebut berjaya ditamatkan dalam keadaan aman pada tahun 2005, namun legasi bahan letupan yang tertanam bahana perang terus tersimpan di dalam tanah.

Dengan berpakaian jaket pelindung letupan yang berat, kumpulan wanita itu berlutut sambil memegang sejenis alat pengesan logam. Mereka hanya 'merayap' di atas tanah setelah terbukti setiap sentimeter kawasan di hadapannya selamat. Mereka turut membersihkan rumput dan tanah bagi memudahkan pengesanan.

"Ada sesuatu di sini, kerana bunyinya agak berlainan," kata Annet yang terdengar bunyi nyaring daripada alat yang dipegangnya. Lalu, dia menandakan kawasan itu dengan penanda berwarna merah.

"Kemungkinan ada bahan letupan di bawah sana. Kami tanda dulu, nanti kami akan korek tanah secara manual untuk melihat apa yang ada di bawah permukaannya," kata Annet yang bekerja di bawah terik mentari.

Ternyata kerja yang dilakukan mereka bukan mudah. Ia perlu dilakukan dengan cermat dan waspada.

Dengan wajah yang dilitupi perisai muka, mereka tidak boleh minum seteguk air pun semasa 45 minit shif. Sebaliknya, air dicurahkan ke atas tanah untuk melembutkannya bagi memudahkan lagi kerja menjejaki periuk api.

Apabila tiba waktu makan tengah hari, pekerja-pekerja wanita itu berkumpul sambil berbual.

"Orang fikir wanita tak boleh buat kerja macam ini, tetapi mereka salah. Kami boleh," kata Besta yang sedang mengandung dan hanya berehat pada hari itu. Bekerja dengan NPA, hak asasi sebagai pekerja tidak diabaikan. Besta bakal memperoleh cuti bersalin tiga minggu, diikuti sembilan bulan melakukan tugas pejabat sebelum kembali bekerja.

"Sesetengah orang kata ia berbahaya untuk wanita, tetapi mereka sebenarnya iri hati sebab kami boleh lakukan kerja orang lelaki," kata Besta sambil tertawa.

Penyelia NPA, Atom Julius Pitia berkata, kumpulan wanita itu melakukan kerja sebaik orang lelaki.

"Memang mereka agak perlahan terutamanya untuk menggali tanah yang keras. Tetapi, mereka selalunya lebih cermat berbanding lelaki. Tambah pula, kerja seperti ini, kita tidak boleh ketinggalan mengesan satu periuk api pun," katanya.


MOM Sam Un, salah seorang peserta pertandingan ratu cantik di Kemboja.


Pengurus Besar NPA, Kjell Ivar Breili turut mengakui bahawa kumpulan wanita itu telah berjaya mengatasi enam kumpulan lelaki NPA jika dinilai berdasarkan bilangan bahan letupan yang dimusnahkan.

Kenyataannya, penglibatan wanita dalam kerja-kerja pemusnahan periuk api di dunia bukan baru. Pada tahun 2003 lagi, media melaporkan terdapat sekumpulan wanita di Kemboja yang melakukan tugas berbahaya ini.

Tahun lalu juga, media melaporkan terdapatnya satu kumpulan pemusnah periuk api wanita di Jordan. Ia dianggotai oleh 24 wanita yang berusia antara 20 hingga 36 tahun. Seperti kumpulan wanita di Sudan, mereka juga melakukan tugas ini atas kesedaran diri demi masyarakat.

"Periuk api yang mengubah kehidupan seseorang selamanya adalah benar-benar satu tragedi. Saya tidak takut untuk membuang periuk api. Saya mahu membuang bahaya bawah tanah ini yang mengancam nyawa ribuan penduduk," kata Sabah Masaeed, 27. Dia benar-benar merasai penderitaan bapanya yang kehilangan sebelah kaki akibat terpijak periuk api.

Kemboja, Angola dan Afghanistan disifatkan sebagai tiga buah negara yang paling banyak menyimpan khazanah periuk api. Terdapat berjuta-juta periuk api dan bahan letupan lain dipercayai masih tertanam di negara-negara tersebut. Ia juga mempunyai bilangan mangsa periuk api yang tertinggi.

Menurut statistik yang disediakan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, dianggarkan 10 hingga 15 peratus daripada mangsanya ialah kaum wanita.

Sebahagian mangsa periuk api wanita di Angola dan Kemboja yang menderita kudung kaki turut berekspresi, tetapi dengan cara yang mencetuskan kontroversi. Mereka menyertai pertandingan Ratu Cantik Periuk Api.

Setelah penganjurannya berjaya di Angola pada tahun lalu dengan kemenangan Augusta Urica, 31, dan Maria Restino Manuel, 26 yang memenangi kaki palsu, penganjurannya di Kemboja pada tahun ini mungkin tidak terlaksana.


SEORANG calon pertandingan ratu cantik, So Yeu dirakam gambarnya di Siem Reap, Kemboja baru-baru ini.


Baru-baru ini, kerajaan Kemboja menggesa agar penganjur membatalkan pertandingan ratu cantik tersebut yang dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini. Keputusan itu membuahkan reaksi berbeza-beza.

"Memang tidak ragu-ragu lagi kesedaran itu penting," kata Kek Galabru, presiden kumpulan hak asasi Phnom Penh, Licadho. "Tetapi, bagi saya ia eksploitasi dan mempergunakan mereka. Kami tidak perlu membangkitkan kesedaran orang ramai dengan cara begitu. Saya boleh merasakan orang akan bertanya: Apa? Pertandingan untuk orang yang sedang menderita?"

Namun, pengarah ratu cantik dari Norway, Morten Traavik mempertahankan tujuan penganjurannya adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan mengembalikan keyakinan diri mangsa. Sejumlah 20 wanita dari seluruh Kemboja sudah pun dicalonkan untuk menyertai pertandingan itu.

"Inilah peluang untuk membuatkan dunia tahu dan tidak mendiskriminasi manusia yang kurang upaya. Walaupun cacat, kami juga berhak untuk cantik dan mempunyai hak yang sama dengan orang normal," kata Song Kosal, 24, peserta ratu cantik yang mewakili Phnom Penh. Dia telah kehilangan sebelah kakinya setelah terpijak periuk api seawal usia lima tahun.

Apapun reaksinya, sama ada ia ekspresi atau eksploitasi, peristiwa-peristiwa yang berlaku ini mengingatkan kita bahawa perang sentiasa membawa natijah buruk dan mewariskan kesengsaraan.

Parut luka perang mampu berkekalan. Perang mengheret manusia melakukan perkara yang tidak dijangka sama seperti periuk api yang kekal di dalam tanah tanpa mampu dijangka siapa mangsanya.

0 comments: