Semangat Ramadan di Permatang Pasir

Semangat Ramadan di Permatang Pasir

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

Bulan puasa uji kewarasan penyokong, pemimpin parti

SAMA ada pertandingan satu lawan satu, tiga atau empat penjuru, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, yang penamaan calonnya diadakan hari ini, saingan sebenar adalah antara calon Barisan Nasional (BN) khususnya Umno dengan Pas.

BN menamakan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calonnya, manakala Pas mempertaruhkan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man untuk mempertahankan kerusi yang diwakilinya selama tiga penggal sejak 1999 sehinggalah kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, pada 31 Julai lalu.

Ini adalah pilihan raya kecil ketiga di kawasan Permatang Pauh dan kelapan di seluruh negara, sejak Pilihan Raya Umum Mac 2008. Parlimen Permatang Pauh mengadakan pilihan raya kecil tahun lalu apabila wakilnya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali kedua pilihan raya kecil di kawasan itu ialah di DUN Penanti ekoran peletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin pada 31 Mei tetapi BN tidak meletakkan calonnya.

Daripada tujuh pilihan raya kecil sebelum ini, enam dimenangi parti mewakili Pakatan Rakyat dan satu BN. Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan sebulan lalu, Pas, walaupun berjaya mengekalkan kerusi itu, majoriti yang dicatatnya amat tipis iaitu hanya 65 undi berbanding 1,352 undi pada Mac 2008.

Pilihan raya kecil itu juga dicemari beberapa insiden kecil pada hari mengundi walaupun sepanjang tempoh seminggu berkempen sebelum hari mengundi, ramai menyifatkannya sebagai antara pilihan raya paling aman dan bersih dari segi pergaduhan dan maki hamun.

Justeru, pilihan raya kecil Permatang Pasir ini, yang hari mengundinya diadakan selepas beberapa hari Ramadan, bukan setakat menentukan sama ada aliran sokongan pengundi kepada Umno seperti di Manek Urai bulan lalu berterusan atau sebaliknya, malah menguji keutuhan kerjasama Pakatan Rakyat khususnya antara Pas dengan DAP yang dilanda beberapa kontroversi sejak akhir-akhir ini.

Pas mungkin tidak sesukar Umno untuk memenangi semula kubu kuat mereka di kawasan Parlimen Permatang Pauh itu tetapi dengan beberapa perkembangan terakhir ini, apakah parti itu mampu membendung aliran mengundi di Manek Urai bulan lalu berulang, dengan memastikan majoriti 5,433 undi yang diperoleh pada 2008 tidak merudum.

Dua isu membabitkan DAP dan Islam yang hangat diperkatakan sekarang ialah 'perbalahan'nya dengan Pas Selangor berhubung isu arak di negeri itu dan dakwaan kononnya Ahli Parlimen Jelutong yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi, menghina Islam apabila mengaitkan syariah Islam dengan ekstremisme.

Awal bulan lalu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, mengancam untuk keluar dari Pakatan Rakyat negeri itu kerana membantah kerajaan negeri pimpinan Pas merobohkan pusat pemotongan babi di Mergong.

Sebanyak 72.36 peratus daripada 20,290 pengundi Permatang Pasir adalah Melayu/Islam dan sebarang isu yang dilihat menyentuh agama pasti menimbulkan rasa kurang senang mereka. Apakah rasa kurang senang itu bakal diterjemahkan oleh pengundi Permatang Pasir pada 25 Ogos ini adalah sesuatu yang menarik untuk ditunggu.

Kerana pilihan raya kecil ini diadakan pada Ramadan, ia tentunya menguji kesabaran dan kewarasan penyokong serta pemimpin parti yang bertanding dalam kempen mereka ketika menjalani ibadat di bulan mulia di sisi Islam itu.

Pilihan raya umum Sabah pada 1994 dan pilihan raya kecil Lunas, Kedah pada 2000 diadakan pada Ramadan. Sementara ia berjalan lancar di Sabah yang pengundinya pelbagai agama, pilihan raya kecil Lunas menimbulkan kekecohan menjelang hari mengundi sehingga memaksa kehadiran ramai anggota keselamatan.

Oleh itu, pilihan raya kecil Permatang Pasir, dari proses penamaan calon pagi ini sehinggalah kepada detik mengumumkan keputusan nanti, diharap berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk bukan saja dari segi keselamatan tetapi juga kesucian Islam dan Ramadan.

Semangat Ramadan bukan setakat mengekang nafsu daripada memaki hamun walaupun ketika berpolitik tetapi yang lebih afdal, mengeratkan ukhwah Islamiah bagi menentang sebarang usaha untuk menghina dan memperlekehkan Islam.

0 comments: