Di mana penanda aras Melayu pasca merdeka?
DALAM kita menanti detik ulang tahun kemerdekaan negara, ada baiknya kita renung sejenak di manakah penanda aras Melayu dalam konteks era semangat 1Malaysia.
Memang benar, orang Melayu jauh maju dan berubah, jika pencapaian kasar diambil kira. Namun secara keseluruhan, berlandaskan kepada statistik prestasi ekonomi serta pencapaian pendidikan orang Melayu, kita terpaksa menelan hakikat bahawa bangsa Melayu masih jauh ketinggalan. Tentunya bersetuju bahawa kita memerlukan reengineering yang sangat ekstensif.
Kini lebih 35 tahun telah berlalu, namun matlamat serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih jauh daripada jangkauan.
Jadi sudah sampailah masanya untuk kita menerima hakikat bahawa mentaliti Melayu dalam "zon selesa dan selamat" inilah yang telah melemahkan orang Melayu itu sendiri berbanding bangsa lain.
Hakikat inilah yang menjadi kegusaran saya selaku anak Melayu pasca merdeka. Apakah orang Melayu telah bersedia untuk menghadapi era-era mendatang yang hanya akan berlandaskan kesamarataan serta meritokrasi dalam semua bidang yang akan di tempuhi termasuk pendididkan dan ekonomi? Apakah kita boleh lakukan tanpa kuasa di tangan orang Melayu di masa depan?
Dalam keadaan pemimpin Melayu masih berkuasa - 52 tahun - adalah satu jangka yang sudah cukup lama untuk Melayu mengecap peluang. Tetapi kita atau lebih tepat, orang Melayu selalu alpa. Kini zaman sudah berubah. Semangat meritokrasi, globalisasi serta liberalisme mula mendominasi kita. Tetapi mentaliti Melayu masih di takuk lama.
Pada pendapat saya, orang Melayu sudah berada dalam zon berbahaya. Bahaya untuk menerima hakikat bahawa Melayu boleh pupus dan terhapus bukan sahaja pada nama namun pada kuasa serta kegemilangannya sekiranya pemimpin Melayu masih tidak sedar dan bersikap "syok sendiri".
Kealpaan inilah yang akan membunuh bangsa Melayu.
Di mana agaknya orang Melayu 20 tahun akan datang? Masih berkuasakah kita di bumi Malaysia ini? Sudah bersediakah Melayu menerima hakikat bahawa akan sudah tidak ada lagi keistimewaan kepada orang Melayu sedikit masa lagi?
Kini, realiti politik Malaysia yang perlu disedari oleh semua orang termasuk pemimpin UMNO sendiri ialah kuasa politik di negara ini secara tidak langsung ditentukan oleh orang bukan Melayu.
Pemimpin Melayu suka bergaduh sesama Melayu tanpa memikirkan kesan pada anak bangsa. Jati diri pemimpin Melayu terlalu rapuh walaupun mereka ini berlatarbelakangkan Islam.
Fenomena perebutan kuasa serta tamak haloba sesama pemimpin Melayu Islam boleh menghancur dan merobohkan tamadun Melayu. Kita dapat saksikan sendiri, pelbagai gejala dan angkara telah dicetuskan melalui fenomena ini.
Dalam keghairahan serta kemaruk untuk berkuasa, pemimpin-pemimpin Melayu sanggup melakukan apa sahaja sampai ke tahap yang sudah hilang rasionalnya, rakus dan kian menghakis nilai-nilai ketamadunan serta budaya bangsa Melayu untuk terus berkuasa. Soal adab, adat dan akhlak digadai dengan murah sekali. Asalkan cita-cita untuk terus berkuasa dapat dikecapi.
Kata bijak pandai: "Kita tak perlu takut pada orang yang biasa kenyang yang tiba-tiba lapar. Tetapi kita perlu takut pada orang biasa lapar yang tiba-tiba kenyang dan mendapat sumber makanan yang banyak". Apakah iktibar dari kiasan ini dalam konteks politik negara pada hari ini? Sama-samalah kita renungi.
Kita harus belajar daripada sejarah perkembangan politikus Cina di Malaysia. MCA, Gerakan dan DAP yang kelihatan berperang tetapi tidak pernah bertempur. Lain pula perihal politikus Melayu yang bertempur dengan parah.
Justeru kepada pemimpin politik Islam di Malaysia sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, ingatlah sabda Rasulullah SAW: "Janganlah kamu sering bersengketa, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu sering bersengketa lalu mereka binasa".
Bandar Baru Uda, Johor Bahru">
0 comments:
Post a Comment