Dakwa puak hina Islam, jangan biar cacing naik ke mata

Dakwa puak hina Islam, jangan biar cacing naik ke mata

ISU penghinaan terhadap agama Islam masih belum ada tanda-tanda berakhir. Kenyataan oleh orang kuat DAP di Pulau Pinang, Jeff Ooi bukannya permulaan kepada episod penghinaan tersebut. Malah ia juga pasti bukan satu pengakhiran.

Selepas ini, akan ada pula pemimpin lain - yang jahil tentang Islam - akan tampil dengan kenyataan baru. Semuanya akan menjurus kepada kritikan melampau yang membawa ke tahap penghinaan.

Seperti biasa, selepas melalui beberapa proses bantahan dan kecaman khususnya oleh orang Melayu dan Islam, akan muncul pernyataan 'menarik balik' kenyataan biadap dan menghina itu.

Malah, selalunya penarikan balik kenyataan itu akan dihiasi dengan permohonan maaf. Sama ada ia ikhlas atau tidak, bukan satu persoalan. Lazimnya pernyataan itu akan diterima. Dan umat Melayu Islam di Malaysia ini akan memaafkan dan mula melupakannya.

Mereka cuma akan 'melenting' kembali apabila timbul isu baru. Ketika itu akan keluarlah banyak kenyataan dari tokoh itu dan tokoh ini. Semuanya mengecam dan meminta kenyataan itu ditarik balik dan menuntut permohonan maaf.

Persoalannya, sampai bila kita umat Islam di negara ini harus beralah? Adakah cukup sekadar permohonan maaf. Apa yang berlaku sudah berlaku.Penghinaan tetap penghinaan walau berapa kali pun permohonan maaf.

Puak berkenaan telah pun berjaya menyampaikan isi hati mereka. Itulah suara hati mereka. Itulah pandangan mereka terhadap Islam.

Jangan dipersoalkan kejahilan mereka. Apa yang perlu dipersoalkan ialah sejauh mana kita boleh menerima penghinaan tersebut?

Sampai bila kita mahu membiarkan agama rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan negara ini dihina? Sampai bila penduduk majoriti perlu tunduk pada penghinaan minoriti? Apa yang berlaku di Malaysia memang pelik. Jika di negara lain, golongan minoriti yang sering dihina tetapi perkara sebaliknya berlaku di Malaysia.

Oleh itu, adakah kita boleh terus berdiam diri? Jika jawapannya tidak, bilakah lagi kita akan mula bertindak?

Penghinaan terhadap Islam semakin melampau. Tambah menyedihkan, apabila umat Islam sendiri bersetuju dan bersikap seperti tidak apa-apa ketika berdepan dengan penghinaan tersebut.

Kini semakin ramai penduduk Islam mula bangkit menyatakan rasa hati dan mendesak tindakan tegas. Jadi, laksanakanlah apa yang boleh dilakukan untuk 'mengajar' golongan yang biadap ini.

Kita tentunya tidak mahu melihat cacing naik ke mata. Jika tindakan tegas menerusi peruntukan undang-undang yang ada boleh mengekang penularan gejala penghinaan terhadap Islam ini, maka kita kira itulah tindakan terbaik.

Jangan lagi lakukan pendekatan berlembut. Langkah itu sudah basi untuk mengajar puak yang sudah sampai ke tahap kurang ajar ini.

Bukan semua kesalahan boleh dihapuskan dengan pernyataan maaf. Memang pernyataan maaf dan memberi kemaafan dituntut oleh Islam. Namun semuanya ada batasan.

Kerosakan telah berlaku. Penghinaan ke atas Islam telah pun direkodkan. Ia seperti satu siri serangan. Lepas satu satu. Yang menerima penghinaan adalah umat Islam - majoriti penduduk Malaysia. Yang menghina terdiri daripada kelompok minoriti.

Ini bukan pernyataan berbentuk rasis. Jika rasis menjadi perhitungan, pernyataan menghina Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu juga adalah rasis.

Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada desakan pihak-pihak tertentu kononnya "demi keharmonian negara". Fikirkan kesan buruk yang dicetuskan oleh pernyataan-pernyataan berbentuk penghinaan, rasis dan bersifat Islamophobia selama ini.

Sebagai penduduk majoriti, orang Melayu dan penduduk Islam lain perlu bersatu. Jangan biar lagi agama ini diperkotak-katikkan. Jangan lagi kita hidup dalam penghinaan.

Paling penting, jangan biar golongan yang bersifat rasis ini menggugat kesejahteraan kita. Pastinya majoriti kalangan penduduk minoriti di negara ini bersetuju bahawa golongan bersifat rasis yang sering menghina Islam dan Melayu ini bukannya pihak yang mewakili mereka.

0 comments: