Hidup bujang ketika 14 tahun

Hidup bujang ketika 14 tahun


LIM menerima sokongan padu daripada Timbalan Menteri 2 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kei (dua dari kanan) dan Ketua Pengarah Balai Seni Lukis, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa (kiri).


SUATU masa dahulu, ada seorang remaja lelaki yang tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri tiga bilik di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Ketika itu, dia baru berumur 14 tahun.

Bukan saja hidup seorang diri, dia juga pekak dan bisu. Namun, dia bukan yatim piatu mahupun dibuang keluarga. Sebaliknya, itulah pilihannya.

"Ia merupakan pengalaman paling manis untuk orang pekak seperti saya. Pada waktu itulah, saya mempelajari tentang dunia sebenar dan dapat melakukan apa yang saya mahu lakukan.

"Semasa tinggal di pangsapuri itu, saya sudah merasa tanggungjawab seorang ibu apabila perlu pergi ke pasar setiap hujung minggu, memasak setiap malam, membasuh pakaian dan membersihkan rumah," ujar artis media baru, Leon Lim Mian Sheng, 29, dalam e-mel kepada Kosmo!.

Layanan perit

Kenangan lebih sedekad itu turut mengajarnya tentang tanggungjawab seorang bapa apabila perlu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil, menguruskan kewangan dan bajet, dan menjaga keselamatan pangsapuri serta tumbuh-tumbuhan.

"Saya merasakan kehidupan remaja apabila pergi ke sekolah (tanpa sebarang rekod ponteng selama lima tahun), menyertai aktiviti sekolah dan mengembangkan bakat diri. Keputusan sekolah menengah saya amat baik," katanya.

Kalau sudah lain daripada orang, lazimnya layanan yang diterima juga memeritkan. Namun, Lim mendapati episod hidupnya itu sangat manis.

"Ramai jiran dan peniaga di pasar pagi yang saya sering kunjungi kagum dan tidak percaya saya boleh hidup seorang diri dan menjalankan tiga tanggungjawab itu pada usia belasan tahun.

"Salah seorang daripada jiran saya menasihati anaknya yang juga pekak untuk pergi ke pangsapuri saya dan berdiri di depan pintu untuk memerhatikan saya membuat kerja rumah.

"Kanak-kanak itu datang ke rumah saya setiap petang selama hampir empat tahun. Saya tidak marah atau menghalaunya sebab saya tahu ibu bapanya mahu kanak-kanak itu menjadi seperti saya," kongsi Lim.

Terpenjara

Sebenarnya, Lim membuat keputusan hidup bersendiri setelah hampir 14 tahun bergelut dengan kesukaran untuk berkomunikasi dengan ibu bapanya yang pada waktu itu tinggal di Alor Setar, Kedah.

"Saya berasa tertekan dan terpenjara kerana diberi jawapan 'tidak' untuk semua perkara ketika tinggal dengan mereka. Contohnya, apabila saya hendak menziarahi teman sekelas atau ketika hendak menggunakan bahasa isyarat tangan, saya dipaksa untuk belajar bertutur.

"Di asrama, saya hendak menjalankan projek pembelajaran atau kajian tentang seni atau sejarah (kerana saya tinggal di sebuah bandar bersejarah), tetapi cikgu dan penyelia tidak setuju.

"Saya diarahkan untuk duduk sahaja di bilik sehingga separuh hari, dan selebihnya menonton televisyen. Sudahlah itu, tiada akses Internet disediakan.

"Tanpa mempelajari sesuatu, apakah maksud sebenar hidup seorang yang pekak?" luahnya.

Hasil hidup berdikarinya itu, Lim berjaya menyambung pengajian ke De Monfort University of United Kingdom, England, dan seterusnya ke Rochester Institute of Technology (RIT) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Tidak cukup dengan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Dalaman Kubah & Konsentrasi dalam Fotografi dan Rekaan Grafik (Kepujian), dia ke New York University pula untuk mendapatkan ijazah sarjana Pengajian Profesional dalam Telekomunikasi/ Komunikasi Interaktif.

Sepanjang pengajiannya, Lim telah menyertai lebih 30 pameran berkumpulan dan solo di dalam dan luar negara dengan menerima 11 anugerah, enam geran, empat biasiswa dan satu penajaan.

Terbaru, Lim menyertai pameran di Muzium Seni CAFA di Beijing, China yang bermula sejak 15 Julai 2009 dan berakhir pada 15 Ogos yang lalu. Pameran itu berjaya dilaksanakan dengan bantuan geran Balai Seni Lukis Negara (BLSN) bernilai RM17,500 untuk menampung kos penerbangan pergi dan balik serta penginapan Lim.

Fikiran negatif

Akhbar bahasa Inggeris di Korea Selatan, The Korea Times, pernah melaporkan: 'Tidak memiliki pendengaran tidak sepatutnya dilihat sebagai halangan untuk seseorang terus memburu impian. Kalau ada bukti yang nyata, dia ialah artis bisu Malaysia, Leon Lim.' - 11 Jun 2008.

Nah, untuk sampai ke tahap itu, Lim tentunya memerlukan fikiran yang amat positif.

"Sebelum ini, saya seorang yang sangat tidak positif. Malah, saya pernah berasa tidak normal semasa kecil. Tetapi saya akhirnya berasa normal apabila menginjak usia remaja. 'Normal' bermaksud sihat, bukan seseorang yang boleh mendengar," ujarnya yang menambah hidupnya berubah setelah memasuki RIT.

Daripada 14,000 pelajar di institut itu, sebanyak 1,500 orang daripadanya ialah pelajar pekak. RIT menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang amat baik kepada pelajar pekak.

Antaranya termasuklah lebih daripada 200 jurubahasa Bahasa Isyarat Amerika-Bahasa Pertuturan Inggeris (ASL), pencatat nota, perkhidmatan perantara, telefon video untuk orang pekak, profesor pekak, sejumlah profesor yang mengetahui bahasa isyarat tangan, dan fakulti pekak dalam kampus (dengan ciri keselamatan, doktor, kaunselor, pakar terapi, pembantu dan pengarah).

"Sesetengah kelas yang saya hadiri menyediakan jurubahasa kepada pelajar pekak. Sesetengah kelas tidak memerlukan jurubahasa kerana pensyarah mereka tahu menggunakan ASL.

"Setiap kelas yang saya hadiri terdapat antara lima hingga 15 pelajar pekak dan 15 lagi pelajar boleh mendengar pada setiap tahun pengajian," kongsi Lim yang amat bersyukur kerana berpeluang melanjutkan pelajaran ke New York.


DI pangsapuri tiga bilik di Tanjung Bungah, Pulau Pinang inilah, Lim menjalani kehidupan sebagai seorang bapa, ibu dan remaja.


Sokongan mewah

Dengan sokongan 'semewah' itu, Lim bagaimanapun menekankan perkara yang penting baginya ialah dikelilingi mereka yang mempunyai keupayaan untuk berhubung dengannya menggunakan bahasa isyarat tangan dan menulis.

Pernahkah dia berasa takut kerana berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain?

"Adakah saya seperti tidak normal atau sakit? Adakah pekak itu satu penyakit atau gangguan? Saya tidak fikir begitu. Saya tidak sakit atau mengalami sebarang gangguan hanya kerana saya tidak dapat mendengar.

"Tidak dapat mendengar atau pekak bukan dipanggil tidak normal. Inilah yang saya ingin didik di Malaysia, untuk meningkatkan kesedaran ramai bahawa pekak adalah identiti, bahasa, budaya dan nilai seseorang, bukan satu bentuk gangguan atau kehilangan," tingkahnya.

Kalaulah dia dapat bersuara, tentu keluhnya itu berbaur kekesalan. Ternyata, bukan rasa takut yang menghimpitnya apabila memikirkan perbezaan keupayaan berbanding dengan empat adik-beradiknya yang lain.

Sebaliknya, kata Lim yang tidak dapat mendengar sejak lahir, dia gembira kerana tidak dapat mendengar.

"Saya tidak perlu mendengar perkara-perkara mengarut yang orang ramai perkatakan tentang saya. Tambahan, dalam keadaan ini, saya diberikan lebih kekuatan apabila mendapat peluang untuk mengembangkan bakat dalam banyak cabang seni. Kalau saya sama (memiliki pendengaran) seperti adik-beradik yang lain, saya mungkin tidak akan menjadi seperti diri saya pada hari ini," luahnya yang gemar memasak hidangan makan malam di dapur rumah kawan-kawannya setiap kali ada masa lapang.

1 comments:

Saiful Kamaruddin said...

hey,boleh x saya tau,Leon Lim Mian Sheng ada blog x?teringin pulak nak tgk catatan dia,diri saya n dia agak sama....tp dia agak berjaya dr saya...kalau sape2 tau hantarlah email kat saya...nano_laila@yahoo.com