Pemansuhan PPSMI kembalikan kebudayaan Melayu

Pemansuhan PPSMI kembalikan kebudayaan Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com,my

Peredaran masa, usia pupuk minat serta kesungguhan pelajar dalam kuasai apa jua bahasa

RAMAI anak Melayu, Cina dan India berjaya dalam hidup, walaupun sebelum ini mereka mendapat pendidikan dengan pengantar bahasa Melayu, termasuk bagi subjek Sains dan Matematik. Bagi mereka, asalkan ada minat dan kesungguhan, tiada masalah untuk memahirkan diri menggunakan bahasa antarabangsa itu.

Oleh itu, mereka berpendapat peredaran masa dan usia akan menyebabkan pelajar itu sendiri semakin matang dalam penguasaan apa juga bahasa termasuk bahasa asing seperti Inggeris atau Perancis.

Terbukti ramai kalangan teknokrat, ahli akademik, usahawan, peguam, doktor dan banyak lagi yang berjaya dalam pendidikan serta kerjaya masing-masing meskipun bermula daripada pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya dalam bahasa Malaysia pada peringkat awal persekolahan.

Apabila kerajaan mula melaksanakan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada sesi persekolahan 2003, pelbagai reaksi timbul. Malah kajian demi kajian dilakukan, yang akhirnya lebih banyak menjurus kepada keperluan penggunaan bahasa Malaysia untuk mengajar dua subjek berkenaan.

Ada yang berpendapat biar sistem pendidikan memantapkan lagi pengajian subjek bahasa Inggeris itu sendiri dan subjek Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Malaysia. Berdasarkan hasil kajian, menggunakan bahasa yang mudah difahami adalah penting dalam proses menguasai sesuatu ilmu kerana kemahiran berfikir setiap pelajar bergantung kepada kefasihan serta kefahaman mereka dalam bahasa.

Keputusan Kabinet semalam untuk mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilihat sebagai keputusan bijak serta berpandangan jauh, di samping penekanan terus diberi untuk memantapkan bahasa Inggeris.

Dengan itu juga, polemik mengenai PPSMI bagi sekolah kebangsaan dan menengah yang diperdebatkan sejak pelaksanaannya pada 2003, berakhir dengan keputusan jemaah menteri itu. Sesungguhnya keputusan itu dapat mengembalikan semula identiti bangsa, semangat patriotik dan kebudayaan Melayu sebagai bahasa ilmu serta memperkasakan modal insan pelajar.

Malah ia melegakan banyak pihak khususnya, pejuang bahasa Malaysia, ahli akademik, guru, dan ibu bapa yang percaya bahasa Malaysia mampu membentuk jati diri anak bangsa dan pada masa sama, bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa masih mampu dikuasai apabila tiba masanya.

Ramai cendekiawan dan pakar dalam pelbagai bidang di negara ini yang mendapat pendidikan aliran Melayu sejak daripada awal dan berada dalam persekitaran Melayu mampu menjadi insan cemerlang dalam bidang masing-masing serta menguasai bahasa Inggeris.

Seorang daripadanya ialah Prof Madya Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sahandri Ghani Hamzah, yang berpendapat peredaran masa dan usia akan menyebabkan pelajar semakin matang dalam penguasaan apa juga bahasa, termasuk bahasa Inggeris.

Katanya, secara automatik mereka dapat menguasai bahasa Inggeris apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada pada peringkat kolej atau universiti.

Beliau berkata, kekuatan dan kecemerlangan seseorang pelajar, khususnya pada peringkat sekolah rendah dan menengah dapat dicapai jika mereka belajar dalam bahasa ibunda.

Katanya, pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sudah wujud kandungan yang kuat dan perjalanan pembelajaran boleh merentasi kurikulum itu sendiri yang akhirnya menjadikan murid mampu menguasai bahasa lain, termasuk Inggeris.

PPSMI dianggap gagal kerana ramai tidak memahami bahasa Inggeris dengan baik khususnya di luar bandar seperti kampung tradisional, Felda, Pulau dan Orang Asli serta murid di bandar yang tidak terdedah kepada bahasa Inggeris.

"Peringkat awal adalah masa untuk penerimaan, penguasaan dan kemahiran sesuatu bahasa. Jika pelajar tidak faham, ia akan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar.

"Kemahiran menguasai bahasa Inggeris sama ada menulis, membaca atau berkomunikasi masih dapat dicapai apabila pelajar meningkat usia dan tahap persekolahannya," katanya yang terdedah kepada aliran sekolah Melayu sejak awal persekolahan, tetapi masih dapat menguasai dengan baik bahasa Inggeris selepas memasuki universiti.

Sementara itu, Pegawai Penyelidikan dan Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi, Saifuddin Kumar Abdullah mengakui pendedahan awal pendidikan di sekolah rendah dan menengah dalam aliran Melayu tidak akan menghalang seseorang untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Katanya, minat, pendedahan dan persekitaran adalah faktor penting yang membolehkan seseorang itu menguasai sesuatu bahasa dengan baik, termasuk bahasa Inggeris.

"Saya yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa percakapan setiap hari serta belajar di aliran sekolah Melayu di Jitra, Kedah, sejak di sekolah rendah dan menengah, masih mampu bercakap bahasa Inggeris kerana ada minat untuk mendalami bahasa itu.

"Malah saya adalah pelajar pertama bukan Bumiputera yang mengambil Diploma Pengajian Melayu di Maktab Perguruan Kinta dan Pengajian Bimbingan dan Kaunseling di UPM dan hasilnya, saya menjadi pelajar cemerlang dalam kedua-dua kursus berkenaan.

"Walaupun keseluruhan pendidikan saya dalam aliran Melayu, saya juga mampu menjadi pelajar cemerlang dengan mendapat Kepujian Kelas Dua Atas ketika mengambil ijazah Pendidikan Bahasa Inggeris di Universiti Malaya (UM)," katanya.

Justeru, katanya, tiada alasan atau pertikaian perlu diperdebatkan kononnya pelaksanaan PPSMI dalam bahasa Inggeris akan meningkatkan kefahaman pelajar dalam bahasa itu.

Dalam konteks ini, Saifuddin berkata, kajian berkaitan PPSMI juga menunjukkan ramai pelajar yang gagal serta prestasi menurun dengan drastik apabila mereka terpaksa mengikuti PPSMI dalam bahasa Inggeris dan menunjukkan ia tidak sesuai dilaksanakan.

Sebenarnya, di situ adalah petunjuk Malaysia belum bersedia dan ramai masih tidak dapat menerima pelaksanaan itu.

"Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki kerana ramai guru dan murid sendiri tidak mahir bahasa Inggeris.

"Jika ia terus dilaksanakan, pasti akan merugikan mereka. Sudah tiba masanya kita berhenti menuding jari menyalahi pihak lain berkaitan isu ini, sebaliknya perlu perbetulkan sebarang kelemahan supaya tidak semakin parah dalam melahirkan pelajar cemerlang," katanya.

Pakar Bedah Hospital Pakar Johor, Dr Mohamad Ismail Ali, yang dilahirkan sebagai anak Felda dan persekitaran Melayu dan bersekolah rendah dan menengah di aliran Cina iaitu di SJKC Chung Ching, Raub, Pahang pula, mendapati memang agak sukar dan janggal berbahasa Inggeris apabila dapat diterima masuk di Methodist Boys School, Kuala Lumpur.

Namun, katanya, persekitaran Methodist yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, akhirnya beliau dapat menguasai bahasa itu dengan baik dalam tempoh tiga bulan selepas membiasakan diri bercakap, membaca dan mengikut tuisyen dalam bahasa Inggeris.

"Saya fikir jika pada peringkat sekolah rendah dan menengah tidak mahir bahasa Inggeris, ia tidak bererti akan menyebabkan kita kecundang dan gagal dalam hidup. Ia akan dapat diperbaiki apabila mereka mengikuti pengajian lebih tinggi," katanya yang berasal dari Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang yang kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Perubatan di UM; Kepakaran Pembedahan di UM (Sarjana); Kepakaran Usus (Kolej School of Medical, London).

0 comments: