Dibesarkan oleh bapa tirinya sejak berusia enam tahun, Natra mengakui berasa amat bahagia dengan kehidupan yang dilayarinya sekarang.
"MEMPEROLEH bapa tiri bukan bermakna satu penggantian, sebaliknya, ia tambahan. Jadi, tentu lagi best sebab saya ada dua bapa," ujar An-nuura Nasuha Rasnatrazia Mohd. Rasul, 18, salah seorang anak tiri kepada Datuk Ir. Hanaffi Daud.
"Saya sayang bapa-bapa saya. Bapa kandung, saya panggil Alid (singkatan Walid bermaksud bapa dalam bahasa Arab). Saya sayang Alid kerana tanpa dia, saya tidak lahir ke dunia. Bapa tiri saya pula, saya panggil Papa. Saya juga sayang kerana tanpa dia, saya mungkin tidak ada kerana tidak dibesarkan," katanya yang disapa keluarga sebagai Natra. Natra merupakan anak kepada Wanita Ikon 2007, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.
Dibesarkan oleh bapa tirinya sejak berusia enam tahun, Natra mengakui berasa amat bahagia dengan kehidupan yang dilayarinya sekarang. Dia kini secara keseluruhannya mempunyai enam orang adik beradik.
Menyifatkan hubungannya dengan Papa amat akrab, mereka berdua berkongsi minat yang serupa iaitu menonton bola sepak dan fotografi.
"Saya memang 'kamceng' dengan Papa. Kami memang biasa tonton bola di TV sama-sama. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pasukan kegemaran kami, Manchester United. Kalau Papa tidak ada, tengok bola sendirian rasa macam tak best. Kalau tak dapat tengok bola bersama-sama, kami akan saling berhubung menerusi telefon untuk mengetahui perkembangan perlawanan. Kami juga beli jersi yang sama," kata Natra yang menyifatkan Papa amat memahami.
"Bagi saya, Papa adalah kombinasi untuk segalanya. Dia banyak berjasa kepada saya dan kakak walaupun kami anak tiri. Papa memang cool. Mungkin Papa bukanlah bapa paling cool di dunia tetapi dia adalah papa paling cool bagi saya," ucapnya sepenuh hati.
Ditanya bagaimana pandangannya tentang persepsi masyarakat luar yang melabelkan bapa tiri dengan perkara-perkara negatif, Natra mengeluarkan buah fikirannya.
"Itu adalah stereotaip yang selalu digambarkan dalam drama atau media. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Mungkin ada yang macam itu, tetapi tidak semua. Papa saya baik. Tak macam yang banyak digambarkan dalam televisyen. Saya bahagia bersama Papa.
"Bagi saya, hubungan tiri memerlukan hubungan dua hala. Kalau satu pihak hendak berbaik tetapi satu pihak lagi tidak mahu berbaik dan berburuk sangka, satu perhubungan yang baik tidak akan berlaku," tuturnya.
Sementara itu, pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Effa Norzila Samsudin, 25, menyifatkan tanpa sokongan keluarga termasuk bapa tirinya, Ahmad Pahaki Moin, 54, dia mungkin tidak akan berjaya seperti hari ini.
"Saya masih ingat jasa dan pengorbanannya terutama semasa dia mengajar saya Matematik mengenai topik waktu dan masa sewaktu saya di bangku sekolah rendah.Sampai pukul 2 pagi, dia menerangkan tentang perkara itu memandangkan saya terlalu susah untuk faham," katanya yang berasal dari Johor.
Sejak kecil, tambah Effa, dia tidak sanggup menulis bapa tirinya itu sebagai 'penjaga' apabila mengisi borang.
"Sepanjang hayat saya juga, dia tidak pernah mengasari saya. Seingat saya, cuma sekali tamparannya hinggap di wajah saya. Itu pun apabila saya melawan cakap emak di depan matanya," kata Effa yang amat merindui keluarganya di kampung. Hanya sekeping foto bapa tiri bersama beberapa saudara tirinya yang dirakamkannya menjadi pengubat kerinduan.
"Buat bapa tiriku, Ahmad Pahaki, Selamat Hari Bapa. Saya akan berusaha untuk terus menggembirakan dan membuat dirimu bangga. Buat bapa kandungku, anakmu ini akan berusaha sedaya upaya untuk mengambil berat akan keluargamu," ujarnya.
Nur Atiyah Rus Aizan, 14, yang masih bersekolah berkongsi ceritanya tentang bapa tirinya, Hosen Ahmad, 55.
"Saya biasa berbual dan berkongsi cerita dengan Bapak (panggilannya untuk Hosen). Memang kadang-kadang, dia agak garang terutama apabila saya terlalu leka menonton televisyen dan tidak membuat kerja sekolah. Tetapi, saya tahu dia marah kerana sayang," katanya sambil memberitahu cuma sekali dia berjumpa dengan bapa kandungnya.
"Saya anggap bapa tiri saya macam bapa saya sendiri. Sempena Hari Bapa ini, Tiyah ingin mengucapkan terima kasih kerana menjaga, mendidik dan membesarkan Tiyah selama ini. Tiyah sayang bapak!" ujarnya. - ADHAM SHADAN
0 comments:
Post a Comment