Oleh M Hifzuddin Ikhsan
Mayat terapung di Sungai Igan, gerakan cari lagi dua penumpang diteruskan
SIBU: Mayat seorang daripada tiga pekerja ladang sawit warga Indonesia yang hilang dalam tragedi bot panjang karam di Sungai Igan, malam Ahad lalu, ditemui terapung berhampiran rumah panjang Simon semalam.
Mayat Jusman, 20, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 3.45 petang semalam lengkap berpakaian, manakala gerakan mencari dua lagi mangsa, Pipi, 30, dan Harni, 18, ditangguhkan berikutan hujan lebat dan arus deras.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail, berkata operasi mencari dimulakan jam 7 pagi membabitkan anggota polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) bersama penduduk kampung.
"Mayat mangsa pertama ditemui pasukan penyelamat petang tadi (semalam) ketika operasi hampir ditangguhkan berikutan hujan lebat memaksa semua anggota penyelamat naik ke darat.
"Cuaca tidak menentu menjejaskan gerakan mencari, manakala arus deras menyukarkan pergerakan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam Ahad lalu, bot panjang yang membawa sembilan penumpang yang dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di ladang sawit berhampiran selepas berhari raya terbalik dan karam akibat muatan berlebihan dan arus deras.
Dua pekerja wanita yang dikenali sebagai Pipi, 30, dan Harni, 18; serta seorang penumpang lelaki, Jusman, 20, hilang sementara enam rakan mereka dan pemandu bot warga tempatan diselamatkan penduduk kampung.
Shafie berkata, pihaknya meminta anggota tugas am di balai berdekatan lokasi kejadian untuk menyertai operasi membantu pasukan penyelamat yang disertai hampir 30 anggota.
"Kami terpaksa menggunakan beberapa bot berkuasa tinggi untuk melawan arus deras dengan kawasan operasi diluaskan hampir 20 kilometer ke arah hilir Sungai Igan bagi mengesan mangsa.
"Hingga lewat petang ini (semalam), pasukan penyelamat masih gagal menemui dua lagi mangsa yang hilang dengan kawasan operasi dijangka akan diluaskan sehingga ke Igan esok (hari ini)," katanya.
Pemandu bot berkenaan, Juing Apit, berkata dia sudah menasihatkan mangsa tidak menyeberang kerana keadaan sungai berbahaya dan meminta mereka tidur di rumah rakan mereka.
0 comments:
Post a Comment