Hui Yee ucap Selamat Hari Raya

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

KUALA LUMPUR 16 Okt. – “Walaupun organ jantung yang didermakan remaja itu ditolak oleh tubuh Tee Hui Yee tetapi pada Hari Raya Aidilfitri ini, kami sekeluarga begitu mengingati keluarga remaja lelaki itu dan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada mereka,” kata Dina Bato Sam Bua, ibu penerima jantung baru itu.

Menurutnya, beliau memahami kesedihan keluarga remaja lelaki dari Sitiawan, Perak itu yang tentunya masih berduka dengan kematian anak mereka, apatah lagi pada saat menyambut hari raya.

“Saya berharap keluarga remaja lelaki Melayu itu bersabar dan juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Hui Yee,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Remaja lelaki Melayu yang berasal dari Sitiawan itu mengalami kematian otak akibat kemalangan jalan raya pada awal bulan ini.

Keluarga remaja itu kemudian bersetuju untuk mendermakan jantung anaknya kepada Hui Yee, 14, yang memerlukan pemindahan jantung setelah setahun bergantung hidup kepada jantung mekanikal.

Bagaimanapun, jantung remaja itu ditolak oleh tubuh Hui Yee selepas beberapa jam menjalani pemindahan jantung pada 3 Oktober lalu.

Ketika dihubungi di sini hari ini, Dina baru sahaja pulang daripada membelikan beberapa helai pakaian baru dan sepasang sandal untuk Hui Yee yang masih berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

“Pakaian baru ini dibeli semata-mata untuk menceriakan Hui Yee. Yang penting pakaian ini mempunyai butang di hadapan bagi memudahkan Hui Yee memakainya.

Persediaan

“Sandal ini pula sebagai persediaan jika dia dipindahkan ke wad biasa. Apabila dipindahkan, Hui Yee sudah mempunyai sandal baru untuk berjalan,” katanya.

Dina memberitahu, Hui Yee menjalani proses pemulihan daripada pembedahan pemindahan jantung itu dengan baik.

“Dia semakin sihat cuma kadangkala dia merungut tidak selesa pada kaki dan badan akibat terlalu lama terbaring. Dia ada menjalani latihan dan terapi fizikal bagi memulihkan tenaga dan mengembalikan kecergasan otot-ototnya.

“Tahap kesihatannya yang sebenar hanya doktor yang mengetahui tetapi buat masa ini mereka masih bercuti sempena hari raya. Untuk tahu perkembangan terakhir, kami kena tunggu mereka kembali bertugas,” katanya.

Menurut Dina, kesihatan anaknya itu sentiasa diawasi oleh para petugas IJN lain dan dilaporkan kepada doktor dari masa ke masa.

0 comments: