Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir
KENA DAKWA: Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Raub, Sidek Abd Rahman (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Raub, semalam selepas menghadapi 22 pertuduhan pecah amanah mengambil wang kerajaan RM12,175. Sementara itu bekas Ketua Penolong Pengarah di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kamaruzaman Md Ali (kiri atas); Penolong Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bachok, Loh Hong Wai (kiri bawah); wakil Biro Inovasi dan Perundingan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ismail Ibrahim (kanan bawah) dan Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn Bhd, Loh Siu Le dituduh bersubahat dan membuat tuntutan palsu. |
6 pegawai Kementerian Belia dan Sukan masih disiasat, seorang ditahan semalam
PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menahan ramai lagi individu bersabit kes penyelewengan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam.
Petang semalam, BPR menahan bekas ketua sekolah binaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong, Negeri Sembilan berusia 33 tahun di Temerloh, Pahang. Lelaki yang ketika ini memegang jawatan selaku Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara itu masih belum berakhir kerana ia memerlukan penelitian secara lebih terperinci.
"Ya, belum habis lagi, masih ada beberapa lagi... siasatan masih diteruskan. Ada beberapa kes lagi yang kita lihat iaitu berhubung penyelewengan dan pecah amanah," katanya pada sidang media khas di ibu pejabat BPR di sini, semalam. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed.
Sidang media itu diadakan bagi memaklumkan hasil siasatan BPR berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan. Laporan itu dibentangkan di Parlimen pada 7 September lalu.
Semalam, 10 individu termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub. Difahamkan, inilah kali pertama tindakan diambil berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.
Ahmad Said berkata, BPR juga mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan untuk lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi, berbanding harga pasaran.
Beliau berkata, siasatan BPR juga mendapati pegawai terbabit ke luar negara tanpa kebenaran dan menerima keraian daripada kontraktor berkenaan.
"Enam pegawai lain pula masih dalam siasatan BPR," katanya sambil menambah, BPR turut mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap seorang juruteknik awam yang membuat perakuan palsu berhubung kerja pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang bagi membolehkan kontraktor terbabit membuat tuntutan pembayaran.
Menjawab soalan, beliau berkata ketua jabatan berkenaan perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai terbabit seperti ditetapkan iaitu sama ada dibuang kerja, turun pangkat, turun gaji, celaan dan amaran.
Ahmad Said berkata, BPR juga masih menyiasat pembelian beberapa peralatan untuk IKBN seperti papan bancuh simen, kabin kontena, buku teknikal dan pen teknikal yang terlalu mahal dan tidak munasabah serta merugikan kerajaan.
"Hasil siasatan awal mendapati wujud salah urus dana awam. BPR sedang menyiasat untuk mengenal pasti salah laku jenayah terhadap mereka terbabit dan sekiranya berlaku perlanggaran peraturan, BPR akan mencadangkan jabatan berkenaan mengambil tindakan tatatertib," katanya.
Sehubungan itu, BPR akan mencadangkan kerajaan supaya melakukan kajian menyeluruh terhadap sistem pembelian terus yang diamalkan jabatan dan agensi kerajaan supaya lebih telus.
Katanya, siasatan BPR mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam sistem itu yang membuka ruang kepada berlakunya rasuah dan penyelewengan.
"Ini terbukti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mendedahkan kebanyakan proses pembelian peralatan dibuat secara rundingan terus," katanya.
Ahmad Said berkata, BPR juga akan mencadangkan kerajaan menyenaraihitamkan syarikat yang membekalkan peralatan kepada IKBN yang dikaitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 kerana melanggar peraturan kewangan.
Beliau berkata, tindakan sama juga dicadangkan terhadap kontraktor yang terbabit dalam kerja pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang kerana melakukan penyelewengan ketika membuat tuntutan pembayaran.
Selain itu, BPR mencadangkan supaya klausa bagi menjelaskan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 dimasukkan dalam semua dokumen kontrak kerajaan sebagai peringatan terhadap pihak berkenaan agar tidak mengambil kesempatan melakukan rasuah dan penyelewengan.
"Jika wujudnya perlakuan rasuah di dalam kontrak itu, adalah dicadangkan supaya kontrak mereka ditamatkan serta-merta," katanya.
0 comments:
Post a Comment