Howard dikutuk rakyat sendiri

SYDNEY 23 Okt. – Perdana Menteri, John Howard dilaporkan tidak dapat lagi menikmati aktiviti riadah kegemarannya, berjalan di waktu pagi, akibat sering dikutuk orang ramai.

Terbaru, Howard dilemparkan kata- kata kesat oleh seorang lelaki pertengahan umur yang mendayung sampan ketika beliau berjalan di pesisir Tasik Burley Griffin, Canberra pagi ini.

Perkara yang sama berlaku di tasik tersebut semalam apabila seorang lagi pejalan kaki menjerit: “Kamu memang memalukan, John. Kamu seorang pengurus ekonomi yang sangat teruk.”

Howard pula hanya mempertahankan diri dengan menyuruh pejalan kaki itu diam dan memanggilnya bodoh.

Kutukan terhadap Howard juga tidak hanya bertumpu di Canberra malahan turut disertai tiga kakitangan Australian Broadcasting Corporation (ABC) di Sydney yang mengenakan pakaian arnab, antara haiwan yang digunakan sebagai kutukan terhadap ahli politik di negara ini.

Manusia berpakaian arnab yang ditampilkan di dalam rancangan The Chaser’s War on Everything ABC itu ditujukan terhadap Howard yang dikenali dengan kemampuannya mencari taktik pada minit-minit akhir bagi memenangi pilihan raya.

Satu tinjauan pendapat terbaru yang dikeluarkan hari ini menunjukkan Parti Buruh mendahului Parti Liberal-National yang dipimpin Howard dengan 58 peratus berbanding 42 peratus menjelang pilihan raya 24 November ini.

Jika keputusan pilihan raya tersebut memihak kepada lawan Howard seperti yang digambarkan tinjauan pendapat itu, Parti Buruh bakal menang dengan majoriti besar dan akan menamatkan tampuk pemerintahan Perdana Menteri itu sejak 11 tahun lalu.

– AFP

0 comments: