Tiga budak hilang kembali ke pangkuan keluarga

UTUSAN MALAYSIA

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang bersama dua remaja berusia 14 tahun sejak Sabtu lalu, sebenarnya lari dari rumah setelah dimarahi bapanya.

Kanak-kanak tersebut, Norashila Jaafar telah kembali ke pangkuan keluarganya hari ini dan menceritakan pengalamannya berpindah-randah bagi mengelak daripada dimarahi oleh bapanya, Jaafar Abdullah, 40.

Norashila memberitahu, sepanjang ‘kehilangannya’ itu, dia menumpang tidur di kafe siber bersama dua anak jiran sebelum membuat panggilan kepada ibunya hari ini.

‘‘Sebelum ini, saya bermalam di rumah kawan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada malam Sabtu yang lalu, naik komuter ke pusat beli-belah Mid Valley keesokan pagi dan seterusnya naik bas ke Puchong.

‘‘Semalam, saya sekali lagi pergi ke Mid Valley dan kemudiannya mengikut kawan-kawan ke kafe siber,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norashila membuat panggilan kepada ibunya kira-kira pukul 10 pagi ini memberitahu dia berada di stesen komuter Pantai Dalam dan meminta ditambah nilai telefon bimbitnya.

Gadis itu ditemui oleh datuknya, dalam keadaan ketakutan di bawah sebuah jambatan berhampiran stesen komuter Pantai Dalam sebelum dibawa berjumpa dengan bapanya yang bekerja di Angkasapuri.

Pelajar Sekolah Rendah Taman Bunga Raya dilaporkan hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Dua remaja perempuan itu ialah Rosbazla Mohd. Basri dan Nursyakila Azlan, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

Sebelum ini, Jaafar telah membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bahru mengenai kehilangan Norashila.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Sulaiman Junaidi berkata, sebaik sahaja mendapat maklumat daripada Norashila, polis menemui dua lagi pelajar yang hilang itu di kafe siber di bangunan tiga tingkat, Lot 11, Jalan 2/112F, Pantai Dalam di sini.

Sulaiman berkata, kafe siber itu terletak lebih kurang 50 meter dari stesen komuter Pantai Dalam.

Tambahnya, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap ketiga-tiga remaja itu mendapati bahawa mereka keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing.

0 comments: