Kes Nurin: Rakan Kak Ngah sukar terima


RASA KEHILANGAN: Noradilah (dua dari kiri) sedih terkenangkan rakan baiknya Nurin ketika belajar di makmal di Kelas Dua Cemerlang Sekolah Kebangsaan Desa Setapak.

Guru alih meja Nurin tidak mahu kawan rapat terus dibelenggu kesedihan

KUALA LUMPUR: Berita kematian Nurin Jazlin Jazimin menjejaskan emosi rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak hingga pihak sekolah terpaksa mengalih kerusi dan meja yang digunakannya dari kelas Dua Cemerlang.

Pentadbiran sekolah mengambil tindakan itu kerana bimbang tragedi kejam dan menyayat hati dan penemuan mayat Nurin dalam beg yang dilaporkan media akan mempengaruhi emosi dan pelajaran rakan sekelasnya.

Sejurus membaca laporan kematian Nurin di hampir semua muka depan akhbar semalam, pihak sekolah juga mengadakan bacaan doa khas yang dihadiri 520 pelajar pada perhimpunan pagi sebelum sesi pembelajaran.

Guru Besar sekolah berkenaan, Asiah Zakariah, berkata warga sekolah sedih dan terkejut dengan berita kematian Nurin.

Katanya, sejak berita kehilangan Nurin dilaporkan sebulan lalu, emosi rakan rapat Nurin di kelas agak terganggu.

"Kami mengambil keputusan mengalih meja Nurin dalam kelas supaya rakan sekelasnya tidak terganggu dan dapat memberi tumpuan kepada pelajaran memandangkan liputan meluas akhbar menjejaskan perasaan mereka," katanya kepada Berita Harian semalam.

Guru kelas Nurin, Zuraini Ismail, berkata Nurin adalah seorang murid yang menyenangkan dan tidak menimbulkan masalah dalam kelas, mungkin disebabkan sikapnya yang agak pendiam.

"Nurin memang pendiam dan hanya bergaul dengan rakan sekelasnya saja. Memanglah saya sedih dengan apa yang berlaku padanya.

"Nurin memang pelajar yang baik, mata pelajaran yang dia suka ialah Bahasa Malaysia kerana dia pasti akan memberi tumpuan dalam subjek berkenaan. Dia pun tidak mempunyai masalah membaca," katanya.

Rakan sekelas Nurin, Noradilah Azman, sedih dengan berita kematian sahabatnya dan kehilangan itu amat dirasai kerana sebelum ini mereka terlalu rapat dan selalu makan tengahari dan bermain bersama-sama ketika waktu rehat.

Noradilah berkata, dia akan merindui Nurin setiap hari kerana sebelum ini mereka berdua banyak meluangkan masa bersama di sekolah selain selalu rehat di kantin dengan memesan makanan yang sama iaitu nasi ayam.

"Nurin baik... kami selalu rehat sama-sama di kantin, kemudian pesan makanan yang sama iaitu nasi ayam tapi sekarang tak lagi," katanya.

Makanan kegemaran Nurin seperti yang dikatakan Noradilah diakui sendiri pembantu kantin yang dikenali sebagai Cik Na.

Beliau berkata, Nurin kerap membeli nasi ayam atau nasi ayam merah daripadanya ketika waktu rehat bersama kakak dan rakannya.

"Saya kerap teman Nurin makan di tepi kantin ketika waktu rehat. Walaupun Nurin tidak banyak bercakap tetapi saya menyenanginya... kadangkala bila dia tak cukup duit saya tetap berikan apa yang dimahukan.

"Sekarang ini bila Nurin tak ada, saya memang sedih dan merasakan kehilangannya sebab selalu teman dia makan di kantin, bila fikir apa yang berlaku kepada Nurin memang saya sebak," katanya.

0 comments: