88 maut nahas di Phuket -- Pesawat Orient Thai Airways terbabas ketika mendarat dalam hujan lebat

UTUSAN MALAYSIA


Anggota penyelamat membawa keluar penumpang cedera dari bangkai pesawat yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket di selatan Thailand, lewat petang semalam. Sekurang-kurangnya 88 orang terbunuh manakala 42 lagi cedera dalam nahas terbabit.

BANGKOK 16 Sept. – Sebuah pesawat tambang murah dilaporkan terhempas dan terbabas lalu terbakar ketika mendarat sewaktu hujan lebat di sebuah lapangan terbang di wilayah Phuket mengakibatkan sekurang-kurangnya 88 orang terkorban manakala 42 lagi cedera.

Pesawat One-To-Go yang dimiliki Orient Thai Airways membawa 130 penumpang serta krew dalam perjalanan ke Phuket dari Bangkok dengan sebahagian besarnya adalah pelancong asing selain rakyat tempatan, lapor agensi berita asing.

Setakat ini, hanya 42 penumpang disahkan terselamat termasuk pelancong dari Australia, Austria, Britain, Iran, Ireland, Itali dan Belanda.

Timbalan Gabenor wilayah Phuket, Worapot Ratthaseema berkata, kemungkinan 90 hingga 100 orang mati dalam nahas berkenaan berdasarkan hanya 42 orang yang berjaya menyelamatkan diri.

“Saya percaya 90 hingga 100 penumpang terkorban dalam nahas tersebut,” katanya sambil menambah lapangan terbang terpaksa ditutup buat sementara akibat kemalangan tersebut.

“Tahap penglihatan di landasan sangat teruk ketika juruterbang cuba mendarat.

“Juruterbang cuba membuat satu pusingan tetapi hilang kawalan dan pesawat terhempas sebelum terputus dua,” ujar Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Wilayah Phuket, Anchalee Wanitthepphabutr.

Mangsa-mangsa yang terkorban dan cedera telah dibawa ke beberapa hospital berhampiran Phuket.

Pengarah Pihak Berkuasa Pengangkutan Udara Thailand, Chaisak Angsuwan berkata, pesawat MD-82 yang malang itu cuba mendarat dalam keadaan hujan lebat dan menggelongsor ke luar landasan hingga merempuh tebing kawasan hutan tebal.

Katanya, juruterbang pesawat itu dikatakan meminta kebenaran mendarat.

“Menara kawalan membenarkannya tetapi pesawat terhempas di atas landasan dan terputus dua,” kata Chaisak.

– Agensi

BERITA HARIAN

88 penumpang terbunuh


OPERASI MENYELAMAT: Pasukan Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran pada pesawat milik One-Two-Go Airlines sejurus terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, semalam.




2 comments:

Ahmad Pazil Md Isa said...

88 penumpang terbunuh

Pesawat terhempas, putus dua ketika mendarat cemas di Lapangan Terbang Phuket

BANGKOK: Sebuah pesawat syarikat penerbangan tambang murah One-Two-Go Airlines, yang membawa 130 penumpang dan lima krew, terhempas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, petang semalam menyebabkan 88 orang terbunuh.

Pegawai kanan lapangan terbang, Chaisak Chai-arkad, memberitahu stesen radio di sini, pesawat milik syarikat yang berpangkalan di Thailand itu terbabas dari landasan ketika mendarat cemas dalam cuaca buruk.

Katanya, angka awal menunjukkan 88 orang dalam pesawat jenis McDonnell Douglas MD-82 itu terbunuh manakala 42 lagi terselamat.

"Pesawat itu juga terputus dua sebaik terhempas dengan muncungnya terhumban lalu terbenam ke dalam tanah di kawasan hutang berhampiran manakala belakangnya terkandas di landasan.

"Jarak penglihatan agak terhad ketika juruterbang cuba mendarat. Dia cuba untuk terbang semula tetapi hilang keseimbangan dan terhempas menyebabkan pesawat terputus dua," kata pegawai Pihak Berkuasa Pengangkutan Thailand.

Kejadian berlaku ketika pesawat itu yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang di sini ke Phuket, cuba mendarat pada jam 3.40 petang dalam keadaan hujan lebat.

Gambar televisyen menunjukkan keadaan pesawat itu yang terbakar dan berasap dikelilingi jentera bomba dan pasukan penyelamat. Kira-kira separuh daripada penumpang pesawat itu dipercayai warga asing, kebanyakannya dari Eropah.

Sehingga malam semalam, daripada 42 orang yang disahkan terselamat, lapan ialah warga negara Britain, dua (Australia) manakala tujuh yang lain rakyat tempatan.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi di ibu negara semalam mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas itu.

"Kita sudah menghubungi Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Thailand dan selepas melihat senarai penumpang, pihak di sana mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan itu," katanya.

Seorang penumpang, Nong Khaonual, warga Thailand yang terselamat bersama isterinya berkata, pesawat itu terlalu cepat menjunam ketika cuba mendarat.

"Pesawat mendarat ketika hujan. Ia mendarat terlalu laju. Saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini. Sejurus sebelum terhempas, kami rasa pesawat seperti cuba naik semula tetapi ia terbabas," katanya kepada krew televisyen di hospital.

Seorang lagi mangsa yang terselamat dari Ireland, yang hanya dikenali sebagai John berkata, pesawat itu memang ada masalah sebelum cuba mendarat.

"Anda tahu ia ada masalah. Pesawat itu berlegar sebelum cuba mendarat. Kami dengar bunyi kuat, jelaslah hujan lebat ketika itu. Pesawat itu terbakar tetapi saya dapat merangkak keluar. Saya mungkin keluar dari bahagian sayap," katanya kepada stesen televisyen ITV.

One-Two-Go Airlines adalah syarikat penerbangan tambang murah berpangkalan di Bangkok dan anak syarikat Orient Thai Airlines. Syarikat penerbangan itu memulakan operasi pada Disember 2003 dengan perkhidmatan antara Bangkok ke Chiang Mai.

Baru-baru ini syarikat itu menambah penerbangan dari Bangkok ke Phuket, dengan enam penerbangan sehari. Ia mempunyai lapan pesawat jenis McDonnell Douglas.

Sementara itu Penerbangan Malaysia (MAS) membatalkan penerbangan kedua dari Kuala Lumpur ke Phuket berikutan penutupan lapangan terbang itu. Seorang pegawai MAS memberitahu Bernama, pesawat MH790 dari Kuala Lumpur ke Phuket yang sepatutnya mendarat di Phuket pada 6.30 petang (7.30 petang waktu Malaysia), kembali semula ke Kuala Lumpur jam 7.35 petang.

Belia berkata, 67 penumpang yang sepatutnya terbang dari Phuket ke Kuala Lumpur dalam pesawat MH791 dibawa ke hotel dan akan diterbangkan hari ini selepas lapangan terbang berkenaan dibuka semula.

MAS menyediakan dua penerbangan untuk laluan ke Phuket dengan yang pertama berlepas dari Kuala Lumpur jam 9.30 pagi. Reuters/Bernama

Ahmad Pazil Md Isa said...

Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat

Tiada rakyat Malaysia terlibat nahas pesawat

BANGKOK 16 Sept. – Laporan awal menunjukkan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam nahas kapal terbang di Phuket hari ini ketika pekerja menyelamat telah menemui 66 mayat sehingga kini.

Menurut laporan itu, terdapat sekurang-kurangnya 74 rakyat Thailand dan selebihnya warga asing di dalam pesawat malang itu.

Antara yang cedera adalah warga Britain, Australia, Iran, Jerman dan Ireland, manakala identiti mereka yang terbunuh masih belum diketahui.

Penerbangan Malaysia (MAS) telah membatalkan penerbangan harian kedua ke pulau pelancongan itu berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket.

Seorang pegawai MAS berkata, penerbangan MH790 Kuala Lumpur-Phuket sepatutnya mendarat di Phuket pada pukul 6.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia) dan kembali pada pukul 7.35 malam.

Beliau berkata, 67 penumpang yang sepatutnya menaiki penerbangan dari Phuket ke Kuala Lumpur dengan penerbangan MH791 telah dibawa ke hotel dan akan mengambil penerbangan esok apabila lapangan terbang itu kembali beroperasi.

Sementara itu, Konsulat Malaysia di Songkhla, Sarifudin Abdullah turut mengesahkan tiada maklumat yang diterima mengenai rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian itu.

— Bernama