Rakyat Sarawak pilih Adun hari ini

Oleh Kadir Dikoh
KUCHING: Seramai 873,703 pengundi akan menentukan nasib 156 calon yang bertanding di 69 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya Sarawak ke-9 hari ini, selepas diasak dengan pelbagai hujah sepanjang kempen 11 hari lalu.

Dua kerusi sudah dimenangi Barisan Nasional (BN) tanpa dicabar pada hari penamaan calon 9 Mei lalu melalui Datin Fatimah Abdullah (Dalat) dan muka baru, Murni Suhaili (Daro), kedua-duanya mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Dengan itu, 18,834 pengundi di dua kawasan terbabit tidak perlu mengundi. Pada pilihan raya negeri 2004, BN menang empat kerusi tanpa tanding.

Proses pengundian membabitkan 14,642 pengundi pos bagi 69 DUN itu pula sudah dilaksanakan dan jumlah undi pos akan dikira bersama undi pemilih biasa, hari ini.

Keputusan pilihan raya kali ini dijangka dapat diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam.

Sejumlah 1,665 pusat mengundi di sekolah, rumah panjang dan dewan orang ramai dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang ini.

Bagi 69 kerusi yang ditandingi kali ini, BN ditentang satu lawan satu oleh pembangkang di 54 kawasan, 13 kawasan pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru, satu kawasan membabitkan pertandingan lima penjuru dan satu lagi, empat penjuru.

BN negeri dianggotai PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Bersatu Sarawak (SPDP) yang dicabar pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), DAP dan Pas selain 20 calon Bebas.

Daripada jumlah 71 kerusi DUN, iaitu tambahan sembilan kerusi baru, PBB diperuntukkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (sembilan) dan SPDP (lapan).

PKR pula bertanding di 25 kerusi, kebanyakan di kawasan majoriti pengundi Melayu/Melanau yang ditandingi PBB manakala SNAP menumpukan kawasan majoriti pengundi Dayak, berhadapan kebanyakan calon PRS dan SPDP.

Pada pilihan raya negeri lalu, BN hampir menyapu bersih semua 62 kerusi kecuali Kidurong yang dimenangi DAP dan Meluan, calon Bebas tetapi kemudian menyertai BN.

PKR bersama Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) bergabung tenaga atas nama Barisan Bersatu Sarawak (BBS). Parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang gagal didaftarkan pula terpaksa bertanding atas tiket SNAP.

SNAP bertanding di 29 kerusi dengan 18 daripadanya calon MDC. DAP yang tidak menyertai BBS tetapi berpakat bagi mengelak pertembungan sesama pembangkang, bertanding di 12 kawasan, tertumpu di kawasan majoriti pengundi Cina di Bandar Raya Kuching, Sibu dan Miri, menentang calon BN daripada SUPP.

Pas yang tidak menyertai BBS menampilkan calon tunggal, sekali lagi di kawasan sama di Beting Maro di Bahagian Sri Aman.

Bagaimanapun, Parti Reformasi Rakyat Sarawak (STAR) menarik diri untuk tidak bertanding sebarang kerusi setelah gagal mencapai kesepakatan dengan BBS.

Hanya dua kawasan, iaitu kerusi baru Jemoreng di Bahagian Mukah dan Bukit Kota di Limbang yang tidak diusik parti pembangkang kecuali menyaksikan calon Bebas.

Seramai 20 calon Bebas bersaing di 16 kawasan, berbanding 64 calon pada pilihan raya negeri lalu. Bagaimanapun, pada 2001 itu, calon Bebas kebanyakan bertanding dalam kumpulan yang ditaja bekas Timbalan Presiden PBB, Datuk Abang Abu Bakar Mustapa tetapi kali ini tidak berbuat demikian.

Pilihan raya negeri kali ini, iaitu keenam yang diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud, BN negeri menampilkan 18 muka baru termasuk lima wanita.

Semalam, Abdul Taib kembali ke kawasan ditandinginya di Balingian dalam episod terakhir kempen menjelang pengundian hari ini dengan pesanan supaya rakyat membuat pilihan bijak.

“Kita sudah banyak buat kerja dan pembangunan kepada rakyat sejak memerintah negeri ini. Untuk lima tahun lagi kita serah kepada rakyat. Semoga rakyat kita kekal hidup dengan lebih baik di bawah kerajaan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek naik taraf Jalan Selangau-Matadeng di Mukah.

Sumber Berita Harian

0 comments: