50 Peratus Mengundi Sehingga 3 Petang

KUCHING, 20 Mei Bernama) -- Kira-kira 50 peratus daripada 859,061 pengundi yang layak mengundi hari Sabtu di 69 daripada 71 kawasan dalam pilihan raya negeri Sarawak telah keluar mengundi sehingga 3 petang.

Pengundian di 1,169 daripada 1,665 pusat pengundian ditutup secara berperingkat sehingga 3 petang ini, kata jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Bernama.

Pusat pengundian itu dibuka secara berperingkat seawal 8 pagi dan yang lainnya akan ditutup selewat-lewatnya 5 petang ini.

Bagaimanapun, terdapat sebuah pusat pengundian yang baru dibuka pukul 3 petang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat. Pusat itu akan dibuka sehingga pukul 4.30 petang.

Tempoh pengundian paling singkat selama 30 minit ialah di dua pusat pengundian dalam daerah mengundi Tutoh dan Liomatu bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Telang Usan yang ditutup pada pukul 8.30 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal berkata tinjauannya ke beberapa kawasan serta laporan yang diterima dari daerah mendapati kehadiran pengundi di kebanyakan pusat mengundi terutama di pedalaman baru mencapai 50 peratus.

"Masih ada masa lagi untuk pemilih berdaftar untuk keluar mengundi kerana pusat-pusat mengundi dibuka sehingga 5 petang," kata beliau.

Beliau memberi jaminan bahawa keselamatan serta ketenteraman terkawal dan sehingga kini tiada laporan mengenai kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata proses pengundian berjalan lancar setakat ini.

SPR menjangkakan lebih banyak pengundi akan keluar mengundi petang ini, kata beliau.

Cuaca di kesemua 11 bahagian di Sarawak dilaporkan cerah dan tiada hujan.

-- BERNAMA

0 comments: