4 rakan karib maut Kancil terjunam ke dalam terusan

Oleh: DIYANA ROSE KAMALLUDEEN


PENDANG 19 Mei - Kegembiraan lima sahabat yang sering menghabiskan waktu bersama pada setiap malam Jumaat berakhir dengan tragedi hari ini apabila empat daripada mereka terbunuh setelah kereta yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam Terusan Wan Mat Saman di Jalan Alor Star-Sungai Petani dekat sini.

Mangsa yang terbunuh dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu ialah pemandu, Muhammad Amin Hassan, 22 Khairul Anuar Alias, 21, Mohd. Shahrizal Mohamad Sabri, 21 dan Mohamad Borhanudin Mohamad Tajudin, 22.

Kesemua mereka yang berasal dari Pendang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Fathi Yusuf, 18, yang juga berasal dari Pendang hanya cedera ringan.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu laju menyebabkan pemandunya, Muhammad Amin hilang kawalan sehingga merempuh sebatang pokok sebelum terhumban ke dalam terusan tersebut.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati keempat-empat mangsa mati lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan itu.

``Kami mendapati kesemua mangsa yang terbunuh hanya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan sementara mangsa yang terselamat patah tulang rusuk,'' katanya.

Sementara itu, ketika menceritakan detik cemas tersebut, Mohd. Fathi berkata, kejadian berlaku apabila Muhammad Amin yang cuba memotong sebuah treler terkejut apabila mendapati sebuah lori di hadapan kenderaan tersebut.

``Keadaan itu menyebabkan kereta yang kami naiki hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok sebelum terjunam ke dalam terusan.

``Saya keluar dari tingkap bahagian belakang yang pecah dan cuba menyelamatkan Muhammad Amin tetapi gagal,'' katanya selepas melihat jenazah rakan-rakannya di bilik mayat Hospital Alor Star (HAS) di sini.

Menurut Mohd.Fathi, sudah menjadi kebiasaan pada setiap malam Jumaat, mereka akan minum bersama di Stadium Darulaman.

``Kami bertolak dari Pendang kira-kira pukul 10 malam dan pada awalnya Khairul Anuar yang memandu sebelum menyerahkannya kepada Muhammad Amin kerana dia mengantuk.

``Biasanya kami keluar dengan motosikal tetapi sebab malam tadi kami berlima, Khairul Anuar meminjam kereta bapanya,'' kata Mohd. Fathi.

SUMBER UTUSAN MALAYSIA

0 comments: