Mangsa diculik angkara gagal pinjam RM80,000

Oleh Masrina Mohd Yunos

KUALA LUMPUR: Polis percaya Ho Ping, kanak-kanak yang ditemui mati dalam beg pakaian di tebing Sungai Sitiawan, Lumut kelmarin, diculik abang iparnya selepas bapa mangsa menolak permintaan lelaki itu untuk meminjam RM80,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata bapa mangsa menolak permintaan menantunya itu kerana dia masih berhutang RM50,000.

“Siasatan mendapati suspek cuba meminjam RM80,000 lagi daripada bapa mentuanya, tetapi gagal kerana hutang lama masih belum dijelaskan. Berikutan itu, suspek dikatakan bertindak nekad menculik adik iparnya dan meminta wang tebusan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu, yang ditahan di Subang Jaya pada 12 tengah malam Sabtu lalu, dipercayai membunuh dan membuang mayat Ho Ping selepas menculiknya dari rumah keluarga mangsa di SS19, Subang Jaya, kira-kira 7.30 malam Khamis lalu.

Anak pemilik ladang sayur di Cameron Highlands itu dilarikan ke Pulau Pinang dan Perak sebelum dibunuh di ladang sawit berhampiran Sungai Sitiawan, kira-kira lapan jam selepas diculik.

Mayat budak lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui pasukan penyelamat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam sebuah beg pakaian terdampar di tebing Sungai Sitiawan pada jam 10.15 pagi kelmarin.

Sebelum itu, kehilangan mangsa dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya pada malam dia diculik dan satu lagi laporan dibuat keluarga Ho Ping sehari selepas itu apabila menerima panggilan seorang wanita yang meminta wang tebusan RM500,000.

Muhd Fuad berkata, siasatan mendapati kanak-kanak itu dipaksa menelan lima pil tidur ketika dibawa ke rumah sewa teman wanita lelaki berkenaan di Jawi, Pulau Pinang.

Muhd Fuad bagaimanapun berkata, bedah siasat pakar forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam mendapati kematian mangsa disebabkan kesukaran bernafas selepas mukanya dililit dengan sejenis plastik pembalut kuih.

“Leher mangsa juga mempunyai kesan cekik. Kita juga menghantar sampel darah mangsa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

Polis sedang memburu teman wanita lelaki itu berusia lingkungan 30an yang dipercayai bersubahat menculik mangsa.

“Wanita ditahan di Jawi, kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin, bukan teman wanita suspek, sebaliknya rakan serumahnya yang juga warga China. Teman wanita suspek dipercayai masih berada di Pulau Pinang.

“Siasatan mendapati wanita itu datang ke Malaysia dan bekerja sebagai GRO sejak tiga tahun lalu. Dia juga menjalin hubungan dengan suspek sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dan teman wanitanya dipercayai merancang penculikan itu sejak sebulan lalu selepas membeli beg pakaian itu.

Kronologi:

18/5 - Mangsa diculik kira-kira jam 7.30 malam di kediamannya di SS19, Subang Jaya

19/5 - Mangsa dibawa ke rumah sewa teman wanita suspek di Jawi, Pulau Pinang dan diberi lima pil tidur.

- Dalam perjalanan ke Sitiawan, Perak, suspek singgah di sebuah kelab malam di Jawi untuk membeli sejenis dadah dan memaksa mangsa menelannya.

- Suspek kemudian membawa mangsa ke sebuah ladang kelapa sawit kira-kira satu kilometer dari Sungai Sitiawan sebelum mencekik dan melilit muka Ho Ping dengan plastik, kira-kira jam 3.30 pagi.

- Mayat mangsa dimasukkan dalam sebuah beg sebelum dicampak ke Sungai Sitiawan.

20/5 - Polis menahan suspek di Subang Jaya pada jam 12 tengah malam.

- Pada jam 5 pagi, suspek membawa polis ke tempat mayat mangsa dibuang.

BERITA HARIAN

0 comments: