Percepat ekuiti Bumiputera

Oleh Shamshul Azree Samshir


nsken, MPUD pemangkin lahirkan usahawan mahir, berdikari serta berilmu

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam melancarkan dua badan khusus – Institut Keusahawan Negara (Insken) dan Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD), bagi mempercepatkan penguasaan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2010.

Badan itu akan menjadi pemangkin bagi melahirkan usahawan Bumiputera berkemahiran, berdikari, berilmu serta beretika selaras dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan Insken dan MPUD di sini berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat kini seolah-olah ‘terhenti’ pada kadar 18 peratus.

“Sehubungan itu, mesti ada usaha yang lebih gigih supaya ada peningkatan. Kita berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya 20 hingga 25 peratus menjelang 2010,” katanya

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan timbalannya, Datuk Khamsiyah Yeop. Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Penasihat Insken dan MPUD.

Insken yang penubuhannya diluluskan Kabinet pada 12 Januari lalu, menjadi agensi peneraju dalam menyelaras dan melaksanakan program latihan keusahawanan negara. MPUD pula menjadi mekanisme menyelaras dan memantau pelaksanaan strategi program pembangunan usahawan pada peringkat negeri dan daerah.

Najib mengaku usaha melahirkan usahawan Bumiputera berjaya pada jumlah yang ramai masih gagal, walaupun lapan pelan pembangunan Rancangan Malaysia sudah dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau yakin usaha melahirkan usahawan Bumiputera berdaya saing boleh dicapai jika semua pihak mengikis persepsi negatif dan melaksanakan semua inisiatif bersungguh-sungguh.

“Walaupun masa sudah agak lama berlalu, ia tidak seharusnya menjadikan kita kecewa mahupun bersikap sinis bahawa Bumiputera tidak mungkin boleh berjaya dalam bidang keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sudah menetapkan hala tuju dasar makro negara dengan hasrat mencapai pertumbuhan dan pengagihan kepada semua.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerima RM5.77 bilion dalam RMK-9 bagi melaksanakan pelbagai program melahirkan usahawan, pembiayaan, pendidikan dan promosi selain RM171 juta bagi penubuhan Insken.

Najib berkata, Insken adalah institusi yang unik kerana kepakaran, program pendidikan serta latihan diperoleh melalui sumber luar.

“Insken bukan sebuah lagi badan secara fizikalnya... ia tidak memerlukan pejabat korporat sendiri atau pengurus besar berkereta rasmi. Kita bukan mewujudkan agensi baru, sebaliknya hanya satu unit ditubuhkan di bawah kementerian.

“Apa dilakukan ialah semua projek dilakukan secara sumber luar atau program yang dikendalikan institut lain kerana kepakaran ada di kalangan komuniti,” katanya.

Beliau menyarankan usahawan Bumiputera supaya tidak terbabit dalam ekonomi ‘lama’ yang sudah banyak disertai peniaga lain.

"Amat penting bagi usahawan berhijrah ke bidang lain jika melihat perniagaan tidak berapa maju," katanya sambil memberi contoh bidang bioteknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor perkhidmatan.

BERITA HARIAN

0 comments: