Mampukah pelajar wanita pecah monopoli lelaki dalam AF4?

AKADEMI Fantasia sudah masuk musim keempat tahun ini. Dalam tiga musim lalu, sejarah membuktikan pelajar lelaki tetap menjadi pilihan jutaan pengundi program realiti TV itu.

Juara-juara AF sebelum ini seperti Vince, Zahid dan Mawi dengan mudah mengenepikan pelajar wanita pada konsert terakhir program itu.

Mampukah pelajar wanita memecah rekod tradisi AF yang prolelaki pada tahun ini? Ia mungkin sukar tetapi tidak mustahil gelaran juara AF4 bertukar jantina pada 5 Ogos ini.

Sebelum program itu bermula pada 28 Mei ini, terdapat pandangan kononnya pelajar lelaki sekali lagi bakal bergelar juara AF4. Kata sesetengah pihak, mana mungkin pengundi wanita akan mengundi pelajar wanita. Undian mereka yang merupakan majoriti penonton AF pasti berpihak kepada pelajar lelaki, kata para pemerhati.

Selain itu, gimik juga memainkan peranan penting ketika berada dalam akademi. Juara AF3, Mawi, jelas dibantu gimik yang tidak dijangka.

Baru-baru ini, ketika para wartawan mendengar seketika persembahan vokal calon pelajar wanita yang akan bertarung pada Konsert Prelude AF4 Ahad ini, mereka merasakan ada kemungkinan kejutan akan berlaku dalam AF4.

Calon pelajar wanita tahun ini jelas memiliki vokal yang dianggap boleh mewarnai industri muzik tanah air. Pelbagai jenis vokal berkumandang pada majlis mengumumkan 20 calon pelajar AF itu.

Apakah episod malang Nija, Farah dan Amylea dalam AF yang lalu terus berulang pada AF4? Semua jawapan terletak pada tangan pengundi. Mencari penghibur berkualiti bukan terletak pada hujung jari.

Hakikatnya, banyak elemen perlu dinilai sebelum seorang pelajar itu dinobatkan juara AF4.

AF1

Vince atau Vincent Chong Ying Cern, 27, muncul juara AF musim pertama.

Pada konsert akhir AF1, Vince menyanyikan lagu Pernah dendangan asal oleh Ferhad dan lagu baru Tak Ingin Kehilanganmu.

Lebih 2,000 penonton hadir menyaksikan persembahan mantap Vince pada konsert kemuncak Akademi Fantasia yang berlangsung di Dewan Wawasan, Menara PGRM, Kuala Lumpur.

Anak muda dari Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Suzuki Vitara berharga RM142,000, wang tunai RM10,000 dan piala.

AF2

Zahid muncul juara menerusi konsert akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dengan kemenangan itu, Zahid, 26, membolot hadiah sebuah kereta model Citroen C3 bernilai RM120,000, set teater rumah, pakej percutian ke Brunei, wang tunai RM10,000 dan piala.

Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin yang menyampaikan lagu berjudul Biarkan Bulan Bicara dan Milikku mengetepikan lima lagi finalis AF2 termasuk pencabar terdekatnya Linda.

Kemenangan Zahid itu memang sudah dijangka kerana anak kelahiran Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu adalah antara pelajar AF2 yang menjadi perhatian ramai.

Konsert akhir AF2 dikendalikan oleh pengacara Aznil Nawawi dan disaksikan oleh kira-kira 7,000 penonton.

AF3

Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, 25, bukan setakat menjuarai AF3, malah turut emenangi Anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik – anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh Astro.

Konsert terakhir AF3 memperlihatkan aura Mawi World yang meninggalkan tiga pelajar lain dengan peratus undian sebanyak 58 peratus. Pesaing terdekatnya, Felix, mendapat 30 peratus, Amylea (8 peratus) dan Marsha (4 peratus).

Kemenangan itu melayakkan Mawi membawa pulang hadiah bernilai lebih suku juta ringgit termasuk wang tunai RM20,000, pangsapuri di A' Famosa Melaka, kereta Suzuki Swift 1.5L Hatch, pakej percutian ke London dan Paris, sistem teater rumah dan peralatan elektrik serta lain-lain barangan.

Bagi Anugerah Vokal dan Persembahan Terbaik, Mawi memperoleh hadiah wang tunai RM6,000 berserta trofi.

Mawi yang mendendangkan lagu Seroja dendangan asal S. Effendi dan sebuah lagu baru, Aduh Saliha, ciptaan Pengetua AF3, M. Nasir, ternyata memukau 6,000 penonton yang memenuhi Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada konsert akhir AF3.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: